Tuesday, September 13, 2011

Muhibah dan Perpaduan


Muhibah dan Perpaduan
(Pantun Empat Kerat)

Petang hari pergi ke pekan,
Pulang membawa sebungkus laksa,
Hidup muhibbah perlu diamalkan,
Di negara Malaysia berbilang bangsa.

Cantik bergugus buah papaya,
Masak dipetik satu per satu,
Walaupun berlainan bangsa budaya,
Kerana muhibbah hidup bersatu.

Air mengalir dalam terusan,
Mengairi sawah beratus relung,
Berkerjasama segala urusan,
Tanda bersatu bergotong-royong.

Tuan Puteri dari kayangan,
Senyuman manis seperti madu,
Bermacam keturunan bukan halangan,
Untuk membina bangsa yang padu.

Enak nian air kelapa,
Penawar sakit mujarab sekali,
Kebudayaan asal tidak dilupa,
Kebudayaan nasional mereka banggai.


Zailani Taslim



Text Box: Maksud


Rangkap 1
Malaysia merupakan negara yang terdiri daripada berbilang bangsa dan rakyatnya perlu mengamalkan cara hidup muhibah.

Rangkap 2
Walaupun rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa dan budaya, namun kerana amalan
cara hidup muhibah, rakyat dapat hidup bersatu padu.

Rangkap 3
Dalam semua urusan, rakyat hidup bersatu padu dan bergotong-royong berkat hidup
bekerjasama.

Rangkap 4
Rakyat yang berbilang keturunan tidak akan menjadi halangan untuk rakyat Malaysia
membentuk menjadi bangsa yang bersatu padu.

Rangkap 5
Sebagai rakyat yang berbilang kaum, tentulah mempunyai berbilang budaya dan cara hidup.
Namun, kebudayaan dan cara hidup asal tidak akan dilupakan walaupun kebudayaan nasional
diamalkan.



TEMA

Keharmonian dan perpaduan hidup masyarakat majmuk.


 PERSOALAN
  
1.    Persoalan amalan hidup muhibah perlu diamalkan oleh rakyat dalam negara berbilang kaum.
2.    Persoalan amalan cara hidup muhibah dapat menyatu-padukan rakyat berlainan bangsa dan budaya.
3.    Persoalan amalan bekerjasama dan bergotong royong dapat memudahkan segala urusan.
4.    Persoalan kepelbagaian keturunan tidak menghalang pembinaan bangsa yang padu.
5.    Persoalan kebudayaan nasional tidak melenyapkan kebudayaan sesuatu kaum.



BENTUK
1.    Terdiri daripada lima rangkap.
2.    Pantun ini berbentuk pantun empat kerat, iaitu dua baris awalan pembayang dan dua baris akhir maksud pantun.
3.    Pantun ini mengandungi empat belas hingga lapan belas patah perkataan dalam satu rangkap
4.    Suku kata terdiri daripada lapan hingga dua belas suku kata sebaris.
5.    Rima akhir  ‘ab, ab’.




 GAYA BAHASA

Simile
Senyuman manis seperti madu; (Rangkap 4, baris 2)

Kata ganda

Tanda bersatu bergotong-royong (Rangkap 3, baris 4)

Hiperbola

Mengairi sawah beratus relong; (Rangkap 3, baris 2)

Asonansi
           
Di negara Malaysia berbilang bangsa (Rangkap 1, baris 4)
            Pengulangan vokal a

Aliterasi
           
Bermacam keturunan bukan halangan (Rangkap 4, baris 3)
            Pengulangan konsonan n

           
 NILAI


1.      Nilai bekerjasama.
Masyarakat berbilang kaum hidup bekerjasama menjalankan amalan gotong-royong.

2.      Nilai hormat-menghormati.
Masyarakat yang berbilang kaum saling menghormati adat dan budaya masing-masing.
3.      Nilai semangat bermasyarakat.
Menjalankan amalan gotong-royong menunjukkan semangat hidup bermasyarakat.

4.      Nilai Patriotisme.
Masyarakat yang cinta akan tanah air dan sentiasa bangga dengan kebudayaan   tempatan.








 PENGAJARAN

1.    Kita hendaklah bertolak ansur dalam segala hal sebagai rakyat sebuah negara berbilang kaum.

2.    Kita hendaklah hidup bersatu padu untuk mengekalkan keharmonian negara.

3.    Kita hendaklah hidup berkerjasama dan bertoleransi dalam masyarakat yang berbilang kaum.





LATIHAN



  1. Huraikan dua persoalan yang wujud dalam Pantun Muhibah ini.

  1. Pada pendapat anda, bagaimanakah kita dapat mewujudkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia?

Jawapan:
  1. Dua persoalannya ialah:
    1. Persoalan amalan hidup muhibah perlu diamalkan oleh rakyat dalam negara berbilang kaum.
    2. Persoalan amalan cara hidup muhibah dapat menyatupadukan rakyat berlainan bangsa dan budaya.

  1. Cara-cara untuk mewujudkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat Malaysia adalah:
    1. Melalui kempen kesedaran.
    2. Melalui aktiviti gotong-royong.
    3. Melalui perkongsian budaya seperti rumah terbuka.
d.    Melalui pembelajaran mata pelajaran Sivik dan Moral di sekolah.

No comments:

Post a Comment