Thursday, September 15, 2011

HIKAYAT RAJA MUDA


HIKAYAT  RAJA MUDA 
(PAWANG  ANA  DAN  RAJA HAJI YAHYA)




 SINOPSIS

Cerita bermula dengan suasana kecoh apabila Raja Muda didapati hilang dari rumah Nenek Kebayan. Nenek Kebayan cemas kerana insiden itu boleh mengakibatkan dirinya dibunuh. Dalam masa yang sama, persiapan sedang dilakukan untuk mengahwinkan Sultan Muda dengan Tuan Puteri Kuntum Ratna Suri di negeri Tanjung Bunga Kembang Sekaki. Majlis itu diraikan secara besar-besaran dan penuh adat istiadat.

            Perkahwinan itu dihidu oleh Tuan Puteri Bidadari Segerba yang sudah sebulan kembali ke kayangan. Tuan Puteri Bidadari Segerba pun pergi ke mahligai Tuan Puteri Kuntum Ratna Suri lalu menyatakan kekecewaannya terhadap tindakan Sultan Muda untuk bernikah lagi. Raja Muda menjelaskan sebab-sebab baginda bernikah dengan Tuan Puteri Kuntum Ratna Suri  melalui syairnya. Setelah berkenal-kenalan dengan Permaisuri Kaca Bertuang dan Tuan Puteri Kuntum Ratna Suri, Tuan Puteri Bidadari Segerba memaklumkan bahawa dia sedang mengandung enam bulan. Sebagai tanda muafakat,Tuan Puteri Bidadari Segerba sanggup memberikan kandungannya itu kepada Tuan Puteri Kuntum Ratna Suri. Tuan Puteri Kuntum Ratna Suri  bersetuju lalu baginda pun memakan sepah sirih lebihan Tuan Puteri Bidadari Segerba. Dengan kuasa Tuhan,kandungan dalam perut Tuan Puteri Bidadari Segerba berpindah ke dalam perut Tuan Puteri Kuntum Ratna Suri. Setelah kejadian itu, mereka berdua saling berjanji untuk tidak berjumpa selama beberapa tahun.

            Setelah cukup tempoh 12 bulan,pada waktu tengah hari bersamaan dengan hari Selasa, Tuan Puteri Kuntum Ratna Suri pun sakit hendak bersalin. Sultan Muda pun menyeru isterinya Tuan Puteri Bidadari Segerba di kayangan supaya turun menyaksikan kelahiran anak itu. Tuan Puteri Kuntum Ratna Suri  selamat melahirkan seorang cahaya mata perempuan yang sihat. Bayi itu lahir dengan diiringi sebelah pedang pada setiap tangan kiri dan kanan. Bayi itu diberi nama Tuan Puteri Renik Jintan Seri Kemala Keinderaan. Satu majlis kesyukuran sempena menyambut kelahiran itu diadakan. Sultan Muda juga memerintahkan Perdana Menteri membuat sebuah balai pancalogam 12 tingkat di tengah Tasik Mendam Berahi untuk dijadikan tempat mandi puteri yang baru lahir itu dan membuat sebuah khemah di tengah Padang Biram Kemala untuk dijadikan tempat bermain.

            Tuan Puteri Kuntum Ratna Suri  semakin sihat tetapi bayinya tidak menangis, tidak mahu makan dan minum. Hal ini membimbangkan seluruh istana tetapi keadaan menjadi reda setelah Tuan Puteri Bidadari Segerba menjelaskan bahawa keadaan tersebut memang sifat semula jadi anak tersebut.

            Pada hari yang telah ditetapkan Sultan Muda membawa puterinya mandi di Tasik Mendam Berahi. Semua persiapan yang diarahkan telah disiapkan. Tuan Puteri Kuntum Ratna Suri  dan bondanya membawa Puteri Renik Jintan ke balai pancalogam di tengah-tengah tasik Mendam Berahi untuk dimandikan dengan penuh upacara. Turut diadakan adalah adat ‘turun tanah’ iaitu memijakkan kaki puteri itu ke atas tanah dan kemudiannya ke atas emas serta perak.

            Selesai upacara itu, anak-anak raja pun bersuka ria dengan pelbagai jenis permainan.  Pada sebelah malamnya pula,Sultan Muda membawa isterinya bermain-main di atas pasir yang berkilat dan kemudiannya menyaksikan permainan ‘Doh Besar’, ‘Lang-lang Aji Buntut’ dan ‘cekur-cekur Puyuh’. Tuan Puteri Kuntum Ratna Suri  turut sama bermain permainan ‘Doh Besan’ kerana terlalu seronok.  Suasana sungguh meriah sehinggalah larut malam dan semua permainan dihentikan.  Keesokannya, kenduri diadakan dengan menyembelih kerbau, bacaan doa selamat dan doa tolak bala. Sultan muda bersama-sama pengiringnya berangkat kembali ke kota keesokannya.


Tema
 


Cerita ini mengetengahkan tema tentang suka-duka pengalaman hidup Raja Muda atau Sultan Muda. Baginda mengharungi pelbagai peristiwa seperti ditinggalkan isteri, bernikah lain dan meraikan kelahiran puterinya.

Persoalan
 



1.    Persoalan Kasih sayang dalam sesebuah keluarga.
Dalam hal ini kekanda berenam begitu menyayangi saudara bongsu mereka dengan turut sama meraikan kelahiran Puteri Renik Jintan.

2.    Persoalan Pernikahan yang tidak direlakan.
Pernikahan Sultan Muda dengan Tuan Puteri Kuntum Ratna Suri sebenarnya tidak direlakan oleh Tuan Puteri Bidadari Segerba.
3.  Persoalan semangat kerjasama dalam menyelesaikan sesuatu kesukaran.

4.    Persoalan sanggup berkorban demi kebahagiaan orang lain.
Dalam hal ini Tuan Puteri Bidadari Segerba sanggup memindahkan kandungannya yang berusia enam bulan ke dalam perut Tuan Puteri Kuntum Ratna Suri  selepas peristiwa pernikahan Sultan Muda dengan Tuan Puteri Kuntum Ratna Suri.

5.    Persoalan kegembiraan menyambut kelahiran seorang bayi.

6.    Persoalan Temasya untuk meraikan kedatangan seorang ahli baru dalam sesebuah keluarga.

Watak dan Perwatakan
 



Watak Utama
Raja Muda (Sultan Muda Gempita Sakti)
Ø  Berkahwin dua
Ø  Suami kepada Tuan Puteri Dayang Segerba dan Tuan Puteri Kuntum Ratna Suri
Ø  Ayahanda kepada Puteri Renik Jintan
Ø  Baginda seorang yang penyayang. Buktinya baginda menyambut kelahiran puterinya dengan segala macam persediaan seperti mengadakan tempat untuk bersiram di Tasik Mendam Berahi.
Ø  Baginda juga seorang yang bersifat pemurah. Baginda telah mengadakan kenduri dengan menyembelih kerbau untuk pengikutnya.
Ø  Baginda seorang yang menjalankan perintah agama. Sebagai contoh baginda telah mengiqamatkan puterinya yang baru lahir.

Watak Sampingan

Tuan Puteri Bidadari Segerba
Ø  Berasal dari kayangan.
Ø  Anak kepada Maharaja Indera Dewa.
Ø  Merupakan isteri kepada Raja Muda.Seorang yang berbudi bahasa. Sebagai contoh, dia pergi menghadiri majlis pernikahan Tuan Puteri Kuntum Ratna Suri dan bersalam-salaman dengan bondanya, Permaisuri Kaca Bertuang.
Ø  Beliau juga seorang yang cekal menerima takdir hidup bahawa suaminya berkahwin lain sewaktu beliau berada di kayangan.
Tuan Puteri Kuntum Ratna Suri
Ø  Anakanda kepada Sultan Sedar  Alam dan Permaisuri Kaca Bertuang.
Ø  Baginda dinikahkan dengan Sultan Muda.
Ø  Isteri kedua Sultan Muda
Ø  Seorang yang berfikiran tebuka apabila sanggup mencemar duli untuk turun bermain bersama-sama dalam permainan ‘Doh Besar’.
Ø  Seorang yang mengamalkan sikap muafakat apabila sanggup menerima kandungan dari dalam perut Tuan Puteri Bidadari Segerba berpindah ke dalam perutnya.

Tuan Puteri Renik Jintan Seri Kemala Keinderaan
Ø  Anak perempuan kepada pasangan Sultan Muda  dan Tuan Puteri Kuntum Ratna Suri.  Sewaktu berada dalam kandungan Tuan Puteri Bidadari Segerba berusia enam purnama, Tuan Puteri telah dipindahkan ke dalam kandungan perut ibunya,
Ø  Tuan Puteri Kuntum Ratna Suri. Tuan Puteri sangat disayangi oleh seluruh ahli keluarga dan istana.
Ø  Namanya itu diberikan oleh nendanya.


Gaya Bahasa
 




1.    Kata ganda
Bersuka-sukaan, bermaaf-maafan, dipeluk-peluk, dicium-cium

2.    Personifikasi
Serai beranak di atas dapur.

3.    Bahasa istana
Bersemayam, bersantap

4.    Inversi
Tidak sedap rasa hati
Sudah kakanda berperi

5.    Simile
Betapa padannya puteri itu bersanding dengan Sultan Muda laksana Sargandi dengan Sang Rajuna seorang puteri yang sangat elok rupanya laksana bulan penuh purnama empat belas

6.    Bahasa klasik
Gahara, leta

7.    Bahasa Arab
Mengkamatkan, kiblat


Latar
           

Latar  Masa

Ø  Pada waktu malam
Raja Muda mengajak isterinya bermain pasir di Tasik Mendam Berahi.

Ø  Pada hari Selasa waktu tengah hari.
Pada waktu ini Tuan Puteri Renik Jintan dilahirkan.

Ø  Pada waktu pagi.
Pada waktu ini, berlaku kekecohan di rumah Nenek Kebayan kerana Raja Muda menghilangkan diri.


Latar Tempat

Ø  Di negeri Tanjung Bunga Kembang Sekaki.
Di sinilah dilangsungkan majlis penikahan Sultan Muda dengan Tuan Puteri Kuntum Ratna Suri.

Ø  Di kayangan.
Merupakan tempat asalnya Tuan Puteri Bidadari Segerba.

Ø  Di rumah Nenek Kebayan. 
Raja Muda tinggal di sini sebelum menghilangkan diri untuk pergi bernikah.

Ø  Tasik Mendam Berahi.
Di sini telah dibina sebuah astaka pancalogam 12 tingkat yang merupakan tempat bersiram Tuan Puteri yang baru lahir.

Ø  Padang Biram Kemala.
Di tengah-tengah padang ini dibina sebuah khemah tempat beradu Raja Muda.  Padang ini juga dijadikan tempat anak-anak raja bermain ‘Doh Besan’, anak-anak pembesar bermain ‘Lang-lang Aji Buntut”.


Latar Masyarakat

Ø  Latar masyarakat zaman feudal
Rakyat diperintah oleh raja dan mereka mesti mematuhi titah raja. Buktinya ,Perdana Menteri menjalankan arahan Sultan untuk mendirikan astaka dan khemah di Padang Biram Kemala.

Ø  Latar masyarakat yang mementingkan adat dan upacara.
Raja Muda menjalankan upacara ‘memijak tanah’ untuk puterinya.

Ø  Latar masyarakat yang berbudi bahasa



Ø  Latar masyarakat yang amanah kepada tugas
Perdana Menteri menjalankan tugasnya membina pancalogam 12 tingkat dan khemah tempat bersiram dan tempat permainan Puteri Renik Jintan.

Ø  Latar masyarakat yang ahlinya sanggup berkorban demi kebahagiaan orang lain
Tuan Puteri Kuntum Ratna Sari sanggup menerima kandungan Tuan Puteri Bidadari Segerba

Ø  Latar masyarakat yang mengamalkan unsur-unsur Islam
Raja Muda yang mengadakan majlis kesyukuran demi menyambut kelahiran puteri baginda.


Nilai
 




           
1.    Nilai kasih sayang
Raja Muda yang begitu kasihkan puterinya hingga sanggup membina pancalogam 12 tingkat dan khemah sebagai tempat bersiram dan tempat permainan puterinya itu.

2.    Nilai redha kepada takdir
Tuan Puteri Bidadari Segerba yang reda dengan perkahwinan kedua Raja Muda kepada Tuan Puteri Kuntum Ratna Sari

3.    Nilai saling menghormati
Kedua-dua isteri Raja Muda saling menghormati keputusan masing-masing untuk tidak berjumpa selama setahun.




Pengajaran
 




1.    Kita hendaklah menjalankan tugas dengan amanah agar tidak menimbulkan masalah pada masa akan datang.

2.    Kita mestilah memberikan semangat dan dorongan kepada orang yang sedang sakit atau dalam kesusahan.

3.    Kita perlulah memohon maaf jika melakukan kesalahan agar tidak menimbulkan syak atau menyakiti hati orang lain.

4.    Kita hendaklah menyambut kelahiran ahli keluarga yang baru dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran.

5.    Seorang suami perlu memaklumkan kepada isterinya sekiranya hendak berkahwin lagi supaya tidak berlaku salah faham.





Latihan
 




1.    Siapakah Raja Muda?
2.    Pada pendapat anda, adakah wajar Raja Muda berkahwin dengan Tuan Puteri Kuntum Ratna Sari dan mengapa?
3.    Pada pendapat anda, apakah kepentingan memelihara adat dan budaya bangsa?

Jawapan:
1.    Raja Muda ialah suami kepada Tuan Puteri Bidadari Segerba dan Tuan Puteri Kuntum Ratna Sari serta ayahanda kepada Puteri Renik Jintan.

2.    Ya, kerana Raja Muda tidak mendengar sebarang khabar daripada isteri pertama yang dinikahinya iaitu Tuan Puteri Bidadari Segerba setelah baginda pulang ke kayangan dan Raja Muda perlukan zuriat untuk menyambung keturunannya.

3.    Pada pendapat saya, kepentingan memelihara adat dan budaya bangsa adalah:
a.    Supaya adat dan budaya tidak hilang ditelan dek zaman
b.    Supaya tidak dilupakan oleh generasi muda
c.    Supaya dapat memelihara jati diri bangsa generasi muda.

No comments:

Post a Comment