Showing posts with label PROSA TRADISIONAL. Show all posts
Showing posts with label PROSA TRADISIONAL. Show all posts

Thursday, September 15, 2011

HIKAYAT ANGGUN CIK TUNGGAL


 “HIKAYAT  ANGGUN  CIK  TUNGGAL”
(DIUBAHSUAIKAN  OLEH  HIZAIRI  OTHMAN)


SINOPSIS

Kapal milik Raja Anggun Cik Tunggal bernama Dendang Panjang sedang berlabuh. Tiba-tiba sebuah lancang kuning berlabuh betul-betul di hadapannya. Bujang Selamat bertanya kepada pemilik lancang kuning mengapa berlabuh secara melulu. Si Kembang Cina yang berada dalam lancang kuning dengan beraninya menerangkan hajat nakhodanya.
           
Raja Anggun Cik Tunggal yang tercabar dengan kelancangan Si Kembang Cina telah mengisytiharkan perang terhadap kebiadaban nakhoda lancang kuning iaitu Nakhoda Ragam.  Berlakulah tembak menembak di antara Raja Anggun Cik Tunggal dengan Nakhoda Ragam (Tuan Puteri). Dalam insiden itu, Tuan Puteri nyaris-nyaris terkorban akibat tembakan Raja Anggun Cik Tunggal yang langsung tidak usul periksa.  Dalam keadaan yang terdesak itu, Tuan Puteri menyalin pakaiannya dan menunjukkan identitinya yang sebenar iaitu Tuan Puteri Gondan Ganariah iaitu tunangan Raja Anggun Cik Tunggal. Hal ini menyebabkan Raja Anggun Cik Tunggal tekejut dan malu lalu lari ke biliknya sambil berselubung.

            Tunangannya, Tuan Puteri Gondan Gandariah pun menyatakan rasa terkilannya atas tindakan Raja Anggun Cik Tunggal tadi. Baginda merajuk dan berasa seperti dirinya telah dilupakan Raja Anggun Cik Tunggal. Berlakulah pujuk-memujuk yang akhirnya melembutkan hati Tuan Puteri. Tuan Puteri kemudiannya meminta kebenaran untuk belayar pulang.  Setelah tiga hari tiga malam, kapal Seludang  Mayang berlabuh di pelabuhan negeri Tiku Benua lalu disambut dengan bedilan meriam. Sesampai di istana, Tuan Puteri menyembah salam dan menyampaikan perkhabaran kepada ayahandanya,Raja Laksamana tentang pertemuannya dengan Raja Anggun Cik Tunggal.


TEMA

Sikap terburu-buru dan tidak usul periksa yang membawa salah faham. Dalam hal ini, Raja Anggun Cik Tunggal berperang dengan tunangnya, Tuan Puteri Gondan Ganariah kerana tidak tahu kapal lancing kuning itu milik tunangnya.


PERSOALAN

Persoalan perasaan kasih sayang sesama manusia.
Tuan Puteri yang sanggup belayar untuk bertemu dengan tunangannya, Raja Anggun Cik Tunggal.

Persoalan keberanian menegakkan keadilan.
Tuan Puteri yang membalas serangan Raja Anggun Cik Tunggal.

Persoalan keperluan memujuk setelah melakukan kesilapan dalam sesuatu tindakan.
Raja Anggun Cik Tunggal memujuk Tuan Puteri Gondan Ganariah setelah menyedari kesilapannya yang menyerang lancang kuning milik tunangannya.


WATAK DAN PERWATAKAN

Watak Utama

Raja Anggun Cik Tunggal

Terburu-buru dalam tindakan kerana menyerang kapal Nakhoda Ragam tanpa soal siasat yang mendalam.

Pandai memujuk orang lain. Baginda memujuk tunangnya,Tuan Puteri Gondan Gandariah yang jauh hati akibat insiden membedil yang hampir meragut nyawa.

Begitu sayang akan Tuan Puteri Gondan Ganariah.

Tunangan kepada Tuan Puteri Gondan Ganariah.


Watak Sampingan

Tuan Puteri Gondan Gandariah

Nakhoda lancang kuning yang dibedil. 

Menggunakan beberapa nama lain seperti Tuan Puteri Nakhoda Ragam.

Berani kerana sanggup bertembak-tembakan dengan Raja Anggun Cik Tunggal dan hampir terkorban.

Puteri kepada Raja Laksamana

Baginda merupakan tunangan kepada Raja Anggun Cik Tunggal.

Bijak menggunakan senjata walaupun seorang wanita, buktinya dia melepaskan tembakan yang hampir mengenai Raja Anggun Cik Tunggal.

Seorang yang mudah jauh hati atau merajuk.

Bersifat lembut hati dan mudah dipujuk walaupun telah melalui insiden yang berbahaya.

Raja Laksamana
Ayahanda kepada Tuan Puteri Gondan Gandariah.
Pemerintah negeri Tiku  Benua.

Si Kembang Cina
Orang suruhan dalam kapal Seludang Mayang milik Tuan Puteri Gondan Gandariah.
Yakin, buktinya menjawab tujuan lancing kuning milik nakhodanya dengan berani kepada Bujang Selamat.



LATAR


Latar  Tempat

Di atas kapal Dendang Panjang.
Di sini Raja Anggun Cik Tunggal bergurau dengan Tuan Puteri Intan Dikarang.  Di sini juga berlaku peristiwa tembak menembak yang membuta tuli dan hampir-hampir meragut nyawa Raja Anggun Cik Tunggal dan Tuan Puteri Gondan Gandariah.

Di atas kapal Seludang Mayang.
Kapal ini milik Tuan Puteri Gondan Gandariah. Di sini berlakunya peristiwa tembak menembak yang hampir mengorbankan Tuan Puteri Gondan Gandariah.

Di pelabuhan.
Di situlah kapal Dendang Panjang dan Seludang Mayang berlabuh secara bertentangan.

Negeri Tiku Benua.
Merupakan negeri asal Tuan Puteri Gondan Gandariah. Rajanya bernama Raja Laksamana. Lancang kuning Seludang Mayang belayar menuju ke negeri ini selepas Tuan Puteri Gondan Gandariah berjaya dipujuk oleh  Raja Anggun Cik Tunggal.

Negeri Bandan.
Negeri ini merupakan tempat yang ingin ditujui oleh kapal Seludang Mayang milik Tuan Puteri Gondan Gandariah. 


Latar Masa

Tiga hari tiga malam.
Tempoh masa ini diambil oleh Seludang Mayang untuk belayar balik ke negeri Tiku Benua.


Latar Masyarakat

Latar masyarakatnya mementingkan budi bahasa.
Sebagai contoh, Bujang Selamat bertanyakan pemilik lancang kuning mengapa berlabuh secara bertentangan dengan kapal Dendang Panjang.

Latar masyarakat yang memiliki keberanian.
Si Kembang Cina berani menjawab panggilan Bujang Selamat walaupun dia seorang wanita.

Latar masyarakatnya yang terlalu mudah dicabar.
Raja Anggun Cik Tunggal mudah tercabar apabila Si Kembang Cina sambil bercekak pinggang berani menjawab pertanyaan Bujang Selamat.

Latar masyarakatnya yang pandai memujuk.
Raja Anggun Cik Tunggal memujuk Tuan Puteri Gondan Gandariah yang jauh hati selepas kejadian tembak-menembak. Baginda berupaya meyakinkan Tuan Puteri Agar tidak meragukan kasih sayangnya.

Latar masyarakatnya yang kurang usul periksa.
Hal ini ditunjukkan oleh sikap Raja Anggun Cik Tunggal yang terus saja menyerang Seludang Mayang dengan tidak usul periksa apakah niat dan tujuannya berlabuh di hadapan Dendang Panjang miliknya.

Latar masyarakat yang tidak mahu beralah.
Hal ini berlaku kepada Raja Anggun Cik Tunggal yang langsung tidak mahu beralah dalam peristiwa tembak-menembak walaupun dengan tunangannya sendiri.


GAYA BAHASA

Bahasa istana
Patik, murka, peraduannya, beta

Simile
Bagai ikan di luar belat

Peribahasa
Rendah diri
Bahasa Arab
Allah, Insya-Allah

Kata ganda
Panji-panji, berbalas-balas

Inversi
Gembiranya hati Tuan Puteri



NILAI


Nilai kasih sayang
Sebagai contoh Raja Anggun Cik Tunggal memujuk Tuan Puteri Gondan Gandariah kerana baginda sayangkan tunangnya itu walaupun berlaku salah faham dan tembak-menembak sebelum itu.

Nilai kepatuhan
Bujang Selamat patuh pada arahan Raja Anggun Cik Tunggal supaya memeriksa kapal yang berlabuh di hadapan kapal mereka.

Nilai berani
Hal ini ditunjukkan oleh Si Kembang Cina yang sambil bercekak pinggang membalas pertanyaan Bujang Selamat yang dianggapnya mencabar.

NIlai ketabahan
Contoh, Tuan Puteri Gondan Gandariah tetap tabah berhadapan dengan Raja Anggun Cik Tunggal walaupun nyaris terkorban.



PENGAJARAN 
 

Kita hendaklah memeriksa sesuatu perkara dengan teliti sebelum mengambil tindakan.

Kita hendaklah banyak bersabar.

Kita mestilah patuh kepada perintah ketua.

Kita perlulah meningkatkan budi bahasa dalam komunikasi supaya tidak menimbulkan salah faham.

Kita hendaklah menyedari kesilapan dengan memohon maaf.


 LATIHAN

Huraikan tema prosa ‘Hikayat Anggun Cik Tunggal’ ini.
Pada pendapat anda, mengapakah kita perlu menyiasat sesuatu perkara dengan teliti sebelum membuat keputusan?


Jawapan:

Tema prosa ‘Hikayat Anggun Cik Tunggal’ ini ialah sikap terburu-buru dan tidak usul periksa yang mewujudkan perselisihan faham.

Pada pendapat saya, kita perlu menyiasat sesuatu perkara sebelum membuat keputusan terlebih dahulu kerana:
Untuk mengelakkan perselisihan faham
Untuk mengelakkan perbuatan yang disesali di kemudian hari.

HIKAYAT INDERAPUTERA


HIKAYAT INDERAPUTERA
(DISENGGARA OLEH  ALI  HAJI AHMAD)


 SINOPSIS


Cerita ini mengisahkan kehebatan dan keistimewaan Inderaputera yang dikatakan gagah perkasa kerana dia pernah berjalan di dalam gua selama sebulan dan berjaya membunuh gergasi bernama Mamdu yang sebelum itu tidak dapat dibunuh oleh Raja Talela  Syah.

            Ayahanda Inderaputera bernama Raja Bikrama Puspa dan bondanya bernama Tuan Puteri Jamjam Ratna Dewi. Setelah Inderaputera dilahirkan, Raja Bikrama menjemput ahli nujum ke istana untuk menilik masa depan anakandanya. Menurut tilikan nujum, Inderaputera akan memerintah kerajaan yang besar tetapi dilarang bermain dengan binatang kerana dibimbangi akan terjadi sesuatu yang buruk. Apabila besar, Inderaputera dihantar mengaji selama tujuh tahun kepada seorang mualim bernama Bersapian.

            Pada suatu ketika Raja Bikrama Buspa menerima kehadiran dua orang utusan ufti yang terdiri daripada tukang emas dan tukang kayu yang mahir lagi hebat.  Si tukang kayu mengukirkan seekor ikan yang indah seperti ikan hidup dan ikan itu boleh ketawa, berpantun dan berseloka apabila diletakkan di dalam air. Tukang emas pula membuat gambar merak daripada emas.  Raja Bikrama Buspa meletakkan merak itu di dalam dulang emas dan perak lalu merak itu menggerak-gerakkan ekornya dan boleh berpantun serta berseloka. Inderaputera yang masih kanak-kanak tertarik dengan merak emas itu lalu turun daripada riba ayahnya. Dengan tidak disangka-sangka merak itu menyambar Inderaputera lalu menerbangkannya.  Ayahanda dan bondanya sangat berduka cita.

            Inderaputera yang diterbangkan telah dijatuhkan oleh merak emas di sebuah negeri dalam sebuah kebun Nenek Kebayan.  Nenek Kebayan yang pulang daripada berjual bunga menjumpai Inderaputera di dalam kebunnya. Inderaputera menceritakan kisahnya kepada Nenek Kebayan.  Nenek Kebayan yang tiada cucu memelihara Inderaputera seperti cucunya sendiri dengan penuh kasih sayang. Sepanjang itu, rezeki nenek kebayan bertambah murah. Suatu hari, Nenek Kebayan membawa Inderaputera berjumpa dengan Perdana Menteri. Perdana Menteri tertarik dengan budi bahasa Inderaputera yang begitu elok sekali. Lalu Perdana Menteri meminta kepada Nenek Kebayan untuk menjadikan Inderaputera anak angkatnya hanya pada sebelah siang. Nenek Kebayan akhirnya bersetuju walaupun berat hati. Akhirnya Inderaputera membesar di bawah jagaan Nenek Kebayan dan Perdana Menteri.

 
 TEMA

Cerita ini bertemakan tentang kehebatan dan keluarbiasaan yang dimiliki oleh seseorang. Dalam hal ini, keistimewaan itu dimiliki oleh Inderaputra.


 PERSOALAN


1.    Persoalan kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anak. Raja Bikrama Puspa tidak mahu berenggang dengan Inderaputera dan berasa dukacita setelah Inderaputera dilarikan merak emas.
2.    Persoalan keutamaan menurut arahan. Negeri-negeri di bawah jajahan Raja Bikram Puspa mengikut arahan membayar ufti kepada baginda.
3.    Persoalan kelebihan yang diperoleh apabila memelihara anak yatim. Bunga-bunga di kebun Nenek Kebayan kembang mekar dan hasil jualannya meningkat setelah Nenek Kebayan memelihara Inderaputera sebagai cucu angkat.


 WATAK DAN PERWATAKAN


Watak Utama

Inderaputera

Ø  Berwajah menarik.
Ø  Ayahandanya bernama Maharaja Bikrama Buspa
Ø  Bondanya bernama Puteri Jamjam Ratna Dewi.
Ø  Seorang yang memiliki kesaktian seperti boleh membunuh gergasi yang tidak mampu dibunuh oleh orang lain.
Ø  Pandai membaca al quran .
Ø  Seorang yang merendah diri contohnya, dia hanya makan hidangan setelah Perdana Menteri makan.

Watak Sampingan

Nenek Kebayan

Ø  Penyayang contohnya nenek Kebayan.sanggup mengambil Inderaputera sebagai cucu angkat.
Ø  Seorang yang perihatin terhadap kesusahan orang lain.

Perdana Menteri

Ø  Seorang yang bersimpati terhadap nasib orang lain.
Ø  Mengambil Inderaputera sebagai anak angkat untuk waktu sebelah siang sahaja.



 
 LATAR


Latar Masa

Ø  14 haribulan.
 Hari lnderaputera dilahirkan.

Ø  Tujuh tahun.
Tempoh Inderaputera dibesarkan sehinggalah dia dilarikan oleh burung merak emas.


Latar Tempat

Ø   Negeri Semanta Puri.
Negeri ini merupakan negeri tempat memerintahnya Raja Bikrama Buspa.

Ø   Di dalam istana Raja Bikrama Buspa.
Di sini berlaku peristiwa Inderaputera dilarikan oleh burung merak emas.

Ø   Di dalam kebun Nenek Kebayan.
Di tempat ini Inderaputera dijatuhkan oleh burung merak emas yang telah menyambarnya.

Ø        Di rumah Perdana Menteri.
Di sini Perdana Menteri menjamu Inderaputera makan.
Latar Masyarakat

Ø              Latar masyarakat yang perihatin terhadap orang lain.
Nenek Kebayan sanggup mengambil Inderaputera sebagai cucu angkat setelah dia dijatuhkan oleh burung merak emas.

Ø   Latar masyarakat yang mudah lupa akan kesukaran yang pernah berlaku.

Ø              Latar masyarakat yang sayangkan kanak-kanak.

Ø              Latar masyarakatnya juga memiliki kesaktian dan keistimewaan yang luar biasa.
Inderaputera yang memiliki kesaktian yang boleh mengalahkan gergasi bernama Mamdu yang tidak dapat dikalahkan oleh Raja Talelah Syah.


GAYA BAHASA


1.    Kata ganda
Tiap-tiap, laki-laki, kaya-kaya, hina-dina, gilang-gemilang

2.    Inversi
Tuan puteri pun beranaklah seorang lelaki terlalu sekali elok paras rupanya

3.    Simile
Terlalu sekali elok paras rupanya seperti matahari baharu terbit gilang-gemilang

4.    Bahasa istana
Baginda, santap, semayam

5.    Bahasa Arab
Al-Quran




 
 NILAI


           
1.    Nilai kebijaksanaan.
Kebijaksanaan ketara ditonjolkan pada watak Inderaputera yang berjaya menewaskan gergasi bernama Mamdu dengan menggunakan kebijaksanaan.


2.    Nilai kasih sayang.
Hal ini ditunjukkan oleh Maharaja Bikrama Buspa yang begitu sayangkan anakandanya Inderaputera.


3.    Nilai pemurah.
Maharaja Bikrama Buspa menganugerahkan sepersalinan kepada setiap ahli nujum yang datang menilik nasib anaknya.


4.    Nilai berbudi bahasa.
Inderaputera sungguh berbudi bahasa kepada Nenek Kebayan yang menjumpainya dan membelanya.


5.    Nilai kejujuran
Inderaputera berlaku jujur  dengan menerangkan asal usulnya dan bagaimana dia boleh berada dalam kebun Nenek Kebayan.




 PENGAJARAN



1.      Kita hendaklah selalu berhati-hati dan berwaspada terhadap ancaman yang tidak dijangka-jangka. Jika tidak berwaspada ada kemungkinan perkara buruk akan berlaku. Sikap Maharaja Bikrama Buspa yang lalai terhadap burung merak  emas telah mengakibatkan anakandanya dilarikan oleh burung berkenaan.

2.      Kita hendaklah memberikan pendidikan agama kepada anak-anak. Sebagai contoh, Maharaja Bikrama Buspa mencarikan seorang guru agama untuk anakandanya belajar mengaji selama tujuh tahun.

3.      Kita mestilah menghargai jasa orang kepada kita.  Maharaja Bikrama Buspa menghargai jasa para nujum dengan mengurniakan persalinan setelah menilik nasib Inderaputera.

4.      Kita hendaklah bijak menyesuaikan diri ketika berada di tempat orang. Sikap ini ditunjukkan oleh Inderaputera yang merendahkan diri ketika berhadapan Perdana Menteri. Dia tidak makan selagi Perdana Menteri tidak selesai makan.



 
 LATIHAN



1.    Bagaimanakah Inderaputera boleh berada di kebun Nenek Kebayan?

2.    Pada pendapat anda, apakah kepentingan pendidikan agama kepada anak-anak?

Jawapan
1.    Inderaputera telah dilarikan oleh merak emas yang dihasilkan oleh tukang emas dan dijatuhkan ke kebun Nenek Kebayan.

2.    Pada pendapat saya, kepentingan pendidikan agama kepada anak-anak ialah:
a.    Mengelakkan anak-anak daripada terjebak dengan gejala tidak baik
b.    Membentuk keperibadian dan akhlak yang mulia
c.    Mengajar anak-anak mengenal pasti dan membezakan antara perkara baik dan buruk.