Showing posts with label PUISI TRADISIONAL. Show all posts
Showing posts with label PUISI TRADISIONAL. Show all posts

Tuesday, September 13, 2011

Penghujung Thamarat al-Muhimmah


Penghujung Thamarat al-Muhimmah
(Syair Nasihat)



Dengarkan tuan ayahanda berperi,
Kepada anakanda muda bestari,
Nasihat kebajikan ayahanda beri,
Amalkan jangan malas dan ngeri.

Ayuhai anakanda muda remaja,
Jika anakanda menjadi raja,
Hati yang betul hendak disahaja,
Serta rajin pada bekerja.

Kerja kebajikan janganlah malas,
Zahir dan batin janganlah culas,
Jernihkan hati hendaklah ikhlas,
Seperti air di dalam gelas.

Menuntut ilmu janganlah segan,
Ilmu yang benar jangan yang bukan,
Iaitu ilmu yang kebajikan,
Di kitab ini sudah disebutkan.

Hendaklah anakanda mengaji selalu,
Dari yang lain lebihkan dulu,
Had syarak jangan dilalu,
Tidaklah anakanda beroleh malu.

Segala perbuatan dengan berilmu,
Maka kebajikan boleh bertemu,
Jika sebarang-barang diramu,
Akhirnya anakanda jatuh tersemu.

Ilmu itu besar faedahnya,
Membezakan hak dengan batilnya,
Mengetahui rakyat brnar salahnya,
Supaya dihukum dengan adilnya.

Jika ilmu tidak diendah,
Sebab anakanda capak permudah,
Rakyat datang membawa gundah,
Anakanda tercenggang tunduk tengadah.

Abu Hassan Sham




 MAKSUD

Rangkap 1
Nasihat  yang diberi oleh ayah perlu dituruti dan janganlah mengamalkan sikap malas.

Rangkap 2
Seseorang yang dilantik menjadi pemimpin mestilah memiliki hati yang mulia dan komited terhadap tugas yang diamanahkan.

Rangkap 3
Kerja kebajikan yang dilakukan perlulah ikhlas dan jangan mengharapkan kepada pembalasan.

Rangkap 4
Ilmu perlu rajin dituntut. Jangan pula kita menuntut ajaran sesat atau ajaran salah.

Rangkap 5
Ilmu perlu diutamakan terutamanya hukum-hukum syarak demi mengelakkan aib.

Rangkap 6
Tindakan perlu didasarkan kepada pengetahuan supaya membawa kepada kebaikan dan kebajikan untuk mengelakkan kejatuhan.

Rangkap 7
Ilmu yang baik akan menjurus kepada keadilan dan kebenaran. Hal ini akan dapat membezakan antara perkara yang benar dan yang salah.

Rangkap 8
Jika ilmu tidak dituntut atau diambil mudah akan menjerumuskan seseorang atau negara ke lembah kehancuran.

Text Box: Tema 


 TEMA

Nasihat kepada pemimpin agar memimpin negara dengan jujur dan ikhlas.



 PERSOALAN


1.      Persoalan kepentingan ilmu dalam menjalankan tampuk pemerintahan.
2.      Persoalan keperibadian yang tinggi yang perlu dimiliki oleh seorang pemimpin.
3.      Persoalan ajaran betul dan ajaran songsang yang telah diwartakan.
4.      Persoalan hukum syarak yang perlu diikuti untuk mengelakkan aib kepada diri.



 BENTUK

1.    Pantun ini terdiri daripada lapan rangkap.
2.    Setiap rangkap mengandungi empat baris.
3.    Jumlah perkataan empat hingga enam perkataan sebaris, jumlah suku kata pula sembilan hingga sebelas suku kata dalam satu baris
4.    Rima akhir adalah sama iaitu ’aa aa’.





 GAYA BAHASA

Aliterasi
            Dengarkan tuan ayahanda berperi. (Rangkap 1, baris 1)
Pengulangan konsonan ‘n’

Asonansi
            Had syarak  jangan dilalu. (Rangkap 5, baris 3)
            Pengulangan vokal ‘a’

Inversi
            Kerja kebajikan janganlah malas.(Rangkap 3, baris 1)

Bahasa Arab
            Had syarak jangan dilalu (Rangkap 5, baris 3)





 NILAI

1.    Nilai mendengar nasihat
Mendengar nasihat orang yang berpengalaman untuk kesejahteraan masa hadapan.

2.    Nilai kerajinan
Rajin menuntut ilmu dan menjalankan tugas yang diberikan.

3.    Nilai keadillan
      Seorang pemimpin perlulah adil dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

4.    Keikhlasan
      Kerja kebajikan perlu dilakukan dengan hati yang penuh ikhlas.







 PENGAJARAN

1.    Kita hendaklah mendengar nasihat ayah, agar kehidupan kita diberkati.
2.    Kita hendaklah menjalankan siasatan sebelum menjatuhkan hukuman.
3.    Kita hendaklah sentiasa berbuat baik dan kebajikan, serta ikhlas dalam sebarang tindakan.
4.    Kita hendaklah menuntut ilmu agar dapat membezakan antara yang buruk dan yang baik.








 LATIHAN

  1. Berikan maksud rangkap
Kerja kebajikan janganlah malas
Zahir dan batin janganlah culas
Jernihkan hati hendaklah ikhlas
Seperti air di dalam gelas

  1. Pada pendapat anda, apakah kepentingan kita menuntut ilmu?

Jawapan:

  1. Maksud rangkap tersebut ialah kerja kebajikan yang dilakukan perlulah ikhlas dan jangan mengharapkan kepada pembalasan.

  1. Kepentingan menuntut ilmu ialah:

a.    Dapat membantu kita membezakan antara perkara yang baik dengan yang buruk.

b.    Dapat membantu kita menyediakan diri sebagai generasi pemimpin masa depan.

c.    Dapat membantu kita menyelesaikan sesuatu masalah dengan mudah.

Syair Mendapat Gemala Naga


Syair Mendapat Gemala Naga
(Anwar Ridhwan dan Rahman  Shaari)


 MAKSUD



Rangkap 1
Dewa bercerita tentang mereka yang dikhianati oleh saudara mereka lalu dipenjarakan selama setahun.

Rangkap 2
Setelah habis dewa dua beradik bercerita, naga berasa kasihan mendengar cerita tersebut lalu memberikan batu geliga saktinya kepada mereka.

Rangkap 3
Naga menerangkan kepada dewa dua beradik, batu geliga sakti ini sangat bernilai kerana mampu menunaikan sebarang hajat hati dan tujuan empunya diri.

Rangkap 4
Batu geliga sakti itu dapat merawat sebarang penyakit dan memberi ketenangan jiwa dengan Tuhan yang Esa.

Rangkap 5
Jika hendak berperang, batu geliga sakti boleh menyediakan tentera beserta dengan hulubalangnya.

Rangkap 6
Setelah mendengar kata-kata naga itu, dewa dua beradik berasa sangat gembira lalu memohon diri untuk beredar dari situ dan meneruskan perjalanan mereka.

Rangkap 7
Kedua-dua bersaudara itu menyusuri pantai tanpa mengira siang dan malam untuk menuju ke sebuah negeri bernama Inderanegara.

Rangkap 8
Apabila tiba pagi hari, dewa dua bersaudara akhirnya tiba ke hujung negeri dan bertemu rumah nenek kebayan.




TEMA


Pengembaraan dua bersaudara untuk mendapatkan Gemala Naga (Batu Geliga Sakti Naga).





PERSOALAN

1.      Persoalan setia kawan iaitu dewa dua bersaudara saling membantu untuk menghadapi dugaan.
2.      Persoalan prihatin terhadap permasalahan orang lain seperti naga yang prihatin dengan permasalahan dewa dua bersaudara lalu menghadiahi mereka dengan gemala sakti.



BENTUK
1.    Syair ini mengandungi lapan rangkap, setiap rangkap mengandungi empat baris.
2.    Syair ini mengandungi antara tiga hingga lima patah perkataan  sebaris.
3.    Jumlah suku kata sembilan hingga tiga belas suku kata sebaris.
4.    Rima akhir semuanya  ’aa aa’.



GAYA BAHASA



Aliterasi
             Menuju jalan tanah yang rata. (Rangkap 6, baris 4)
       Pengulangan bunyi kosonan ’n’


Asosanasi
            Rumah kebayan orang yang bahari , (Rangkap 8, baris 4)
            Pengulangan bunyi vokal ‘a’


Inversi
            Setahun sudah di dalam penjara (Rangkap 1, baris 4)


Sinkope
            Dewa pun duduk ia bercerita (Rangkap 1, baris 1)
           





NILAI 


1.    Nilai keberanian
Dewa berani mempersembahkan diri kepada naga yang pebuh sakti untuk mendapatkan gemala sakti.

2.    Nilai kesetiaan
Dewa bersaudara setia bersama mengharungi kesusahan dalam pengembaraan mereka. (

3.    Nilai kasih sayang
  Naga berasa simpati dan belas terhadap dewa bersaudara yang telah dikhianati oleh  
  saudara mereka.



 NILAI


1.    Kita hendaklah membantu orang yang ditimpa kesusahan.
2.    Kita hendaklah menghormati orang yang lebih tua daripada kita.
3.    Kita hendaklah memohon kepada Allah agar kehidupan kita diberkati.








 LATIHAN

1.        Siapakah yang dimaksudkan dalam baris ‘Setahun sudah di dalam penjara’.

2.        Pada pendapat anda, mengapakah dewa dua bersaudara beredar dari tempat naga dengan perasaan gembira sekali?

Jawapan:

  1. Dewa dua bersaudara yang dimaksudkan dalam baris tersebut.

  1. Dewa dua bersaudara beredar dari tempat  naga dengan perasaan gembira sekali kerana mereka dihadiahkan dengan gemala sakti/ atu geliga sakti oleh naga.

Perang Saudara di Pahang


Perang Saudara di Pahang
(Mohd Yusof M Nor & Dr. Abd. Rahman Kaer)






 MAKSUD

Rangkap 1
Permulaan kisah perang iaitu kisah perang saudara di Pahang.


Rangkap 2
Pemangku sultan merupakan putera sulung yang memerintah negeri yang bernama Bendahara Tun Tahir.


Rangkap 3
Putera yang tengah ialah Encik Engku Ahmad. Terdapat lima orang lagi putera lelaki sultan yang mempunyai perilaku yang baik.


Rangkap 4
Encik Engku Ahmad keluar mengembara ke Singapura sambil menghiburkan hatinya yang lara.


Rangkap 5
Tidak lama belayar, Encik Engku Ahmad sampai di Kampung Gelam dan singgah di tempat tersebut.


Rangkap 6
Encik Engku Ahmad tinggal bersama Tengku Jaafar yang menjadi sahabat baginda. Baginda berdua tinggal di sana tanpa sebarang kawalan.


Rangkap 7
Encik Engku Ahmad diiringi teman-teman dan kawan-kawan untuk kembali ke negerinya.


Rangkap 8
Mereka mula belayar ke sebelah barat iaitu ke Kemaman.


Rangkap 9
Mereka sampai di Kemaman yang indah tempat Sultan Terengganu memerintah.


Rangkap 10
Mereka membuat perancangan untuk menyerang negeri Pahang.





TEMA

Berkisarkan perancangan perang saudara yang bakal berlaku di Pahang.



PERSOALAN

1.    Persoalan peperangan tidak membawa sebarang keuntungan tetapi membawa kebinasaan.
2.    Persoalan hubungan dan kerjasama untuk menjalankan suatu tindakan.
3.    Persoalan golongan bangsawan yang mengamalkan hidup bebas tanpa kawalan.





BENTUK

1.    Syair ini mengandungi sepuluh rangkap.
2.    Setiap rangkap mengandungi empat baris.
3.    Jumlah perkataan ialah empat hingga enam perkataan sebaris, jumlah suku kata pula sembilan hingga sembilan dalam satu baris.
4.    Rima akhir sama – iaitu ’aa aa’.




 GAYA BAHASA

Aliterasi
             hendak melanggar Pahang negara (pengulangan konsonan n)

Asonansi
             kata orang empunya wadah (pengulangan vokal a)

Kata ganda
             laki-laki (Rangkap 2, Baris 1)

Repetisi
             di kampung Gelam tempat berhentinya,
             di dalam kota tempat diamnya (Rangkap 5,  Baris 3 dan baris 4)


Bahasa Klasik
            Ini sekadar sahaya ringkaskan (Rangkap 1, Baris 3)


 NILAI


1.    Nilai setiakawan
Tengku Jaafar yang menjadi sahabat Encik Engku Ahmad bersama-sama melakukan aktiviti dengan baginda.

2.    Nilai keberanian
Keberanian Encik Engku Ahmad membentuk pakatan untuk menyerang Pahang.

3.    Nilai kesetiaan
Setia mendengar perintah Sultan Terengganu berhenti di Kemaman untuk mengumpul pakatan menyerang Pahang.



PENGAJARAN


1.  Kita hendaklah mempunyai keperibadian yang tinggi agar kita disukai rakan dan teman.
2.  Kita hendaklah merantau untuk mencari pengalaman hidup.
3.  Kita hendaklah pandai membawa diri dan tidak menunjuk lagak semasa berada di perantauan.






 LATIHAN


1.    Berikan  tiga gaya bahasa yang wujud dalam syair ini besertakan contohnya.
2.    Pada pendapat anda, apakah faedah yang diperoleh apabila kita mengembara?

Jawapan:
1.      Tiga gaya bahasa yang wujud dalam syair ini ialah:
a.  Aliterasi
                    hendak melanggar Pahang negara (pengulangan konsonan n)

b.  Asonansi
                    kata orang empunya wadah (pengulangan vokal a)

c.  Kata ganda
                    laki-laki (Rangkap 2, Baris 1)

2.      Pada pendapat saya, faedah-faedah yang diperoleh apabila kita mengembara ialah:
a.  Dapat mempelajari perkara baru seperti adat dan kebudayaan baru.
b.  Dapat menimba ilmu pengetahuan yang luas
c.  Dapat membuka minda kita dan menerima perkara-perkara baru yang positif.

PANTUN AGAMA


Pantun Agama



Kemuning daunnya lampai,
Tumbuh di pusara paduka tuan;
Di atas dunia kau tak sampai,
Di dalam syurga bernantian.

Halia ini tanam-tanaman,
Di barat saja akan tumbuhnya;
Dunia ini pinjam-pinjaman,
Akhirat juga akan sungguhnya.

Teritip di tepi kota,
Mari dikayuh sampan pengail;
Imam khatib lagikan berdosa,
Bertambah pula kita yang jahil.

Asam kandis asam gelugur,
Ketiga asam si riang-riang;
Menangis mayat di pintu kubur,
Teringat badan tidak sembahyang.

Buat serunai batang padi,
Bunyi lagu seri pualam;
Serban bukan semuanya haji,
Haji terletak pada amalan.

Tiada boleh menetak jati,
Papan di Jawa dibelah-belah;
Tidak boleh kehendak hati,
Kita di bawah perintah Allah.

(Mohd Yusof Md Nor & Dr. Abd. Rahman Kaer)



 MAKSUD

Rangkap 1
Sekiranya kita tidak mengerjakan suruhan Tuhan di dunia, di akhirat nanti kita tidak akan mendapat ganjarannya.

Rangkap 2
Dunia bukanlah tempat yang kekal bagi semua makhluk, akhirat jualah tempat yang abadi.

Rangkap 3
Orang alim juga tidak lepas dari berbuat dosa, apatah lagi kita orang biasa. Sudah tentu banyak berbuat dosa.

Rangkap 4
Kita akan menyesal pada kemudian hari jika tidak mengerjakan ibadah sembahyang.

Rangkap 5
Pakaian tidak melambangkan darjah kealiman seseorang tetapi melalui amalannya.

Rangkap 6
Kita hendaklah sentiasa mengikuti ajaran atau perintah Allah bukanlah mengikut kehendak hati sendiri.





TEMA

Amalan agama menjamin kehidupan di kemudian hari.


PERSOALAN

1.    Persoalan taat akan hukum agama akan menjamin kehidupan bahagia di akhirat nanti.
2.    Persoalan kejahilan manusia yang tidak tahu akan hukum-hakam agama.
3.    Persolana penampilan fizikal tidak melambangkan keperibadian dan tahap keimanan seseorang.




 BENTUK

  1. Pantun ini terdiri daripada terdiri daripada enam rangkap.
  2. Setiap rangkap mengandungi empat baris.
  3. Jumlah baris terdiri antara tiga hingga empat patah perkataan.
  4. Contoh, tiga patah perkataan sebaris:
Kemuning daunnya lampai
  1. Contoh,  enam patah perkataan:
Di atas dunia kau tak sampai
  1. Rima akhirnya  ’ab ab’.




 GAYA BAHASA

Aliterasi
      Teritip di tepi kota
Pengulangan bunyi konsonan  ’t’

Asonansi
Teringat badan tidak sembahyang
 Pengulangan bunyi vokal ’a’

Kata ganda
Dunia ini pinjam-pinjaman

Sinkope
Di atas dunia kau tak nampak



NILAI


  1. Nilai keinsafan.
Terdapat pada rangkap kedua (Baris 3 dan 4)
Dunia ini pinjam-pinjaman,
Akhirat juga akan sungguhnya.

  1. Nilai kesederhanaan.
Terdapat pada rangkap kelima (Baris 3 dan 4)
Serban bukan semuanya haji,
 Haji terletak pada amalan.




 PENGAJARAN

  1. Kita hendaklah tidak terlalu menurut kata hati.
  2. Kita hendaklah tidak menilai seseorang itu dari luaran sahaja.
  3. Kita hendaklah beringat bahawa kehidupan di dunia ini hanya sementara sahaja.
  4. Kita hendaklah mengerjakan solat supaya tidak menyesal pada kemudian hari.
  5. Kita hendaklah memelihara amalan hidup di dunia.








LATIHAN

  1. Huraikan dua nilai yang wujud dalam Pantun Agama ini.

  1. Pada pendapat anda, mengapakah kita tidak boleh menilai seseorang itu daripada luaran sahaja.

Jawapan :
1.            Dua nilai yang wujud dalam pantun ini ialah :
a)            Nilai keinsafan. Contohnya rangkap ke 2 (Baris 3 dan 4)
      Dunia ini pinjam-pinjaman,
      Akhirat juga akan sungguhnya.

b)            Nilai kesederhanaan. Contohnya rangkap 5 (Baris 3 dan 4)
Serban bukan semuanya haji,
Haji terletak pada amalan.

2.            Pada pendapat saya, kita tidak boleh menilai seseorang daripada luaran kerana:
a.            Penampilan tidak melambangkan perwatakan.
b.            Akan mwujudkan salah faham.
c.            Akan menyebabkan buruk prasangka dan menimbulkan fitnah.