ANAK PENGGUNTING RAMBUT
( NOR HIDAYAH ASARI)
SINOPSIS
Cerpen “Anak Penggunting Rambut” mengisahkan seorang ayah
yang mempunyai seorang anak perempuan yang bernama Manisah. Manisah merupakan
seorang anak yang berambut pendek seperti kanak-kanak lelaki dan mempunyai nama
panggilan, Manis. Wajahnya comel dan suka tersenyum walaupun sedang sakit. Ayah
berasa Manis lebih baik berambut pendek kerana dia selalu pening dan pitam.
Manis
bangga mempunyai ayah yang bekerja sebagai tukang gunting rambut walaupun ayah
sudah berusia enam puluh lima tahun. Kerana kebanggaan itu, rambut Manis akan
digunting oleh ayah sehingga mencecah usia remaja. Ayah Manis terkenal dengan
panggilan Mat Gunting di Kampung Batu 25, Bagan Datoh. Apabila ayah diterima
menjadi peneroka FELDA, beliau mengambil upah menggunting rambut setelah pulang
dari ladang.
Ketika
Manis berada di tadika, kawan-kawannya sering mentertawakan pekerjaan ayahnya
sebagai penggunting rambut. Namun demikian, ayah akan menceritakan kesusahannya
mencari rezeki di kampung dengan melakukan banyak pekerjaan termasuk
menggunting rambut meskipun pendapatannya tidak seberapa. Ayah juga
menceritakan rezeki sebagai penggunting rambut sudah sebati dengan hidupnya
sejak kali pertama belajar menggunting rambut.
Manis
sangat suka berambut pendek. Bagi Manis, rambut pendek telah membawa kemenangan
yang bermakna dalam hidupnya ketika berada di tadika. Sejak itu, Manis selesa
dengan berambut pendek dan ayah terpaksa menuruti kemahuannya. Kebanyakan orang
berpendapat bahawa ayah telah membentuk peribadi Manis berperwatakan
lelaki disebabkan rambutnya yang pendek.
Namun begitu, ayah menyenanginya apatah lagi Manis menghargai titik peluh ayah
sebagai tukang gunting. Selepas kematian isterinya, ayah sibuk mengambil alih
tugas di dapur dan menjaga anak-anaknya hingga terlupa menggunting rambut
Manis.
Ayah
akan mengenakan upah menggunting rambut sebanyak lima puluh sen untuk
kanak-kanak dan seringgit untuk orang dewasa. Wang upah tersebut dikelakkan
dalam bekas kelengkapan gunting rambut
dan disangkut pada dinding. Ayah tahu Manis selalu mengambil antara dua
puluh sen atau tiga puluh sen wang upah tersebut tetapi tidak memarahinya apabila mengetahui
wang tersebut digunakan untuk membeli keropok lekor di kantin. Setelah
menyedari wang belanja sekolah Manis tidak mencukupi, ayah telah menambahnya
dengan syarat Manis tidak boleh lagi mengambil wang upah gunting tanpa
kebenarannya.
Manis
akan menunggu ayah pulang dari ladang sambil mengaturkan masa pelanggan yang
datang. Apabila ayah pulang dari ladang,
biasanya terdapat dua atau tiga orang pelanggan yang menanti kepulangannya.
Manis akan membantu tugas-tugas lain seperti menyapu dan mengumpulkan rambut
serta menyediakan cangkul untuk menggali lubang bagi menanam rambut-rambut yang
digunting.
Di alam
sekolah menengah, Manis masih berambut pendek walaupun dicemburui oleh ramai
pelajar senior. Pada waktu cuti hujung bulan, Manis akan meminta ayahnya
menggunting rambutnya mengikut gaya yang baru. Akhirnya, imej Manis berambut
pendek telah menjadi ikutan rakan-rakannya tetapi tidak disenangi oleh warden
asramanya.
Apabila
meningkat dewasa, Manis menyambung pelajarannya di Kuala Lumpur. Sepanjang
pengajiannya di universiti, Manis jarang-jarang pulang ke kampung. Manis cuma
menelefon ayahnya dengan memberikan pelbagai alasan untuk tidak pulang ke
kampung.
Pada
suatu hari, ayah mendapat panggilan telefon kecemasan daripada kawan Manis yang menyatakan Manis sakit dan berada di
hospital. Manis disahkan menghidap leukemia sama seperti penyakit ibunya. Hati
ayah menjadi sebak apabila mengusap helaian dan gumpalan rambut Manis yang
gugur daripada kulit kepalanya. Kepala Manis kini sudah separuh botak.
Doktor
memberikan harapan tipis untuk Manis hidup dalam tempoh beberapa bulan sahaja.
Namun begitu, Allah lebih sayangkan Manis. Dia menghembuskan nafas terakhirnya
di atas ribaan ayah. Pada akhir kalimat yang diucapkan oleh Manis kepada,
ayahnya, masih terngiang-ngiang di telinga ayahnya betapa sehelai rambut Manis
amat bermakna dan Manis tidak mampu menyimpannya lagi.
TEMA
Kasih sayang ayah
terhadap anaknya. Ayah yang bekerja sebagai tukang gunting menyayangi anaknya,
Manis dengan memenuhi kehendak anaknya
untuk bergunting rambut hingga ke akhir hayat anaknya.
PERSOALAN
1. Persoalan berdikari
untuk meneruskan kehidupan.
Contoh:
Ayah meneruskan kehidupan menjaga Manisah setelah kematian isterinya.
2. Persoalan prihatin
dengan masalah.anak.
Contoh: Ayah menambah wang saku anaknya setelah wang
saku yang diberi tidak mencukupi untuk perbelanjaan harian di sekolah.
3. Persoalan menerima
takdir Tuhan dengan tabah dan tenang.
Contoh: Ayah dan anak-anaknya redha menerima kematian
Manisah akibat penyakit Leukemia.
4. Persoalan mementingkan
ilmu pengetahuan sebagai penyuluh hidup.
Contoh: Manisah sanggup meninggalkan keluarga di
kampung untuk menyambung pelajaran di bandar.
PLOT
Permulaan
Pengarang memulakan cerita dengan memperkenalkan watak ayah sebagai
tukang gunting yang dikagumi oleh anak perempuannya, Manis. Pekerjaan ayah
sebagai tukang gunting bermula dengan
kerja sampingan tetapi akhirnya menjadi tersohor di Bagan Datoh. Manis pula
menjadi pelanggan ayahnya dengan gaya guntingan rambut pendek.
Perkembangan
Manis berbangga dengan kerjaya ayahnya, sebagai tukang
gunting walaupun diketawakan oleh kawan-kawannya. Kesetiaan Manis menemani
ayahnya waktu bergunting rambut telah dikagumi oleh ayahnya. Manis mempunyai
prinsip untuk mempertahankan rambut pendeknya walaupun sudah bersekolah
menengah dan ditegur oleh warden
asramanya. Setelah melanjutkan pelajarannya di peringkat universiti, Manis
tidak pulang ke kampungnya dan hanya sekadar menelefon ayahnya sahaja.
Klimaks
Manis disahkan menghidap penyakit leukemia oleh doktor.
Dia hanya boleh hidup selama beberapa bulan sahaja. Ayah tersentuh hatinya
apabila menerima perkhabaran itu
Peleraian
Penyakit leukemia Manis
bertambah parah. Manis akhirnya meninggal dunia. Ayah menerima suratan
takdir Allah dengan mengenang kembali makna sehelai rambut Manis yang gugur
akibat penyakit leukemia.
Teknik Penceritaan
Cerita
disusun mengikut kronologi urutan masa.
1. Dialog
Contoh: “Mengapa abah teruskan juga menjadi
pengunting rambut bila dah sampai ke sini?”
2. Imbas kembali
Contoh:
Aku masih ingat kali pertama dia ke tadika. Dia menangis.
3. Monolog Dalaman
Contoh: Kau tak rindukan pisau cukur yang pernah
tergores di leher jinjangmu. Manis sudah lapan bulan abah tidak menggunting
rambutmu.
WATAK DAN PERWATAKAN
Ayah
Ø
Sudah
berusia lewat 60-an.
Ø
Seorang
bapa tunggal.
Ø
Rajin
bekerja untuk menyara keluarganya.
Ø
Tabah
menjalankan tugasnya sebagai tukang gunting.
Ø
Memiliki
bakat dan kepandaian menggunting rambut.
Ø
Hidup
menduda setelah kematian isteri.
Manisah (Manis)
Ø
Memiliki
raut wajah yang comel.
Ø
Berpendirian
tegas dan sanggup menghadapi risiko.
Ø
Berusaha
dengan bersungguh-sungguh dalam bidang pelajaran.
Ø
Rajin
membantu orang lain.
Ø
Gemar
berambut pendek.
LATAR
Masa
Ø Petang – Ayah menanam rambut Manis di
dalam satu lubang kecil selepas kematian Manis.
Ø Subuh – waktu Manis meninggal dunia
kerana penyakit leukemia.
Ø Waktu siang – waktu ayah bekerja di
ladang, di kedai gunting rambut, dan Manis pergi ke sekolah.
Tempat
Ø Kampung Batu 25, Bagan Datoh – kampung
asal ayah sebelum berpindah ke tanah rancangan FELDA.
Ø Tanah rancangan FELDA – tempat ayah
merantau untuk mencari penghidupan yang lebih baik.
Ø Tadika – Manis dan kumpulannya
mengambil bahagian dalam acara membawa bakul kacang di atas kepala dan
memenangi acara tersebut.
Ø Asrama – Manis tinggal di asrama
semasa bersekolah menengah.
Ø Hospital – tempat Manis dirawat kerana
penyakit leukemia.
Masyarakat
Ø Masyarakat yang mementingkan sikap
berdikari untuk kelangsungan hidup.
Contoh: Ayah yang berdikari mendidik anak-anaknya
setelah kematian isterinya.
Ø Masyarakat peneroka FELDA yang dapat
mengusahakan kerja sampingan.
Contoh: Ayah menjadi peneroka dan meninggalkan kampung
halamannya.
Ø Masyarakat yang berani mempertahankan risiko.
Contoh:
Ayah mempertahankan tindakannya memotong rambut Manisah hingga
pendek walaupun dikritik orang kampung.
Ø Masyarakat yang menerima takdir Tuhan
dengan tabah
Contoh: Ayah dan abang menerima takdir kematian
Manisah dengan redha.
GAYA BAHASA
1. Sinkope
Contoh:
Kau degil tetapi cepat
menangis.
2. Kata Ganda
Contoh:
Sampah-sarap, rakan-rakan, awal-awal,
3. Simile
Contoh:
Seperti Busut Hitam
4. Personifikasi
Contoh: Jari-jemari abah ini seperti
menari-nari sendiri
NILAI
1. Nilai keberanian.
Contoh: Manisah berani berambut pendek walaupun telah
dipanggil dan ditegur oleh guru.
2. Nilai berdikari
Contoh:
Ayah berdikari dalam mendidik anak-anak selepas kematian isterinya.
3. Nilai semangat bermasyarakat
Contoh: Ayah sanggup meneruskan kerja menggunting
rambut kepada peneroka dan anak peneroka walaupun bayarannya rendah.
4. Nilai kasih sayang
Contoh: Ayah sangat menyayangi Manisah sejak dari
kecil hingga dewasa.
5. Nilai kerajinan
Contoh: Ayah rajin bekerja di ladang dan juga sebagai
tukang gunting rambut pada sebelah petangnya. Manisah juga rajin menolong
ayahnya membersihkan tempat menggunting rambut.
PENGAJARAN
1.
Kita
hendaklah menerima ketentuan Allah
Ayah menerima ketentuan Allah yang
mengambil nyawa isterinya dan juga
nyawa anaknya Manisah lebih awal.
2.
Kita hendaklah mendidik anak dengan sempurna.
Ayah
mendidik anak-anaknya dengan baik walaupun tanpa isteri yang telah meninggal
dunia.
3. Kita hendaklah bersangka baik terhadap jiran.
Orang kampung memahami mengapa ayah memotong rambut Manisah hingga pendek.
4. Kita
hendaklah rajin belajar walaupun berjauhan dengan keluarga.
Manisah
rajin belajar sehingga masuk universiti walaupun berjauhan dengan keluarganya.
LATIHAN
1. Apakah pengajaran yang terdapat dalam petikan
di bawah?
“ Bagaimanapun ajal dan
maut kuasa Allah. Allah lebih sayangkan
Manis. Subuh itu Manis menghembuskan nafasnya yang terakhir
di ribaanku.”
2. Nyatakan gaya bahasa yang terdapat dalam
petikan di bawah?
“Abah
hanya mahu merindumu, Manis.”
3. Nyatakan 3 perwatakan abah dalam petikan di atas?
“Abah saya tukang
gunting rambut. Masa muda, orang kampung
panggil abah Mat Gunting. Abah saya cukup terkenal di kampung Batu 25,
Bagan Datoh.”
Jawapan
1. Kita
haruslah menerima takdir Ilahi.
2. Gaya
bahasa sinkope, contoh merindumu.
3. Tukang gunting rambut, nama gelaran
Mat Gunting, Pernah tinggal di Kampung Batu 25, Bagan Datoh, dan terkenal di Kampung Batu 25.