WARKAH DARIPADA IBU
(ROHANI DERAMAN)
SINOPSIS
Mira telah menerima warkah daripada
ibunya. Hampir setahun Mira dan adik-adiknya tinggal di kampung bersama dengan datuk
dan neneknya. Keputusan ibu dan ayahnya menghantar Mira untuk tinggal
dengan datuk dan neneknya telah menimbulkan seribu persoalan. Namun ibunya
tidak dapat menjawab persoalan tersebut. Ibu Mira berharap agar suatu
hari nanti Mira akan faham tindakan ibu
dan bapanya itu. Mira dan keluarganya telah bersiap untuk ke rumah datuknya di
kampung. Mereka sampai ke kampung datuknya menjelang senja. Pada malam hari
mereka semua telah tidur berderetan di ruang
tamu walaupun neneknya telah menyiapkan bilik untuk mereka. Mereka tidur dengan nyenyak sekali kerana
kepenatan seharian dalam perjalanan. Keesokan harinya, apabila ibu dan bapanya
berangkat pulang, perasaan sayu dan hiba mula dirasai oleh Mira. Namun
adik-adiknya kelihatan riang kerana perpisahan dengan ayah dan ibu tidak begitu
bermakna kepada adik-adiknya. Nenek telah mengajak Mira ke kedai untuk memperkenalkan
Mira dengan rakan-rakan sebaya Mira serta mengenali. tempat di kampung neneknya
itu. Bermula dengan perkenalan dengan
Suzana di kedai, Mira mula mengenali kawan-kawan barunya yang lain. Mira mula bersekolah dan mengulangkaji
pelajarannya. Dalam keheningan subuh yang syahdu serta bunyi kokok ayam
sahut-menyahut, Mira membaca sekali lagi
surat yang dikirim oleh ibunya.
Dalam surat tersebut, ibunya
berdoa agar Mira dan adik-adiknya sentiasa dilindungi Allah. Persoalan yang
tidak terjawab oleh ibu Mira sebelum ini telah dinyatakan di dalam surat
tersebut. Masalah sosial yang melanda masyarakat kota begitu menghantui dan
menakutkan ibunya. Manakala corak pergaulan dan persekitaran di kampung masih
yang terbaik kerana masih mengekalkan amalan dan ciri-ciri hidup masyarakat
berharmoni. Ibunya mengimpikan anak-anak yang soleh. Di kampung, Mira lebih
terdedah kepada nilai-nilai moral. Walaupun sejak kecil ibu dan bapa Mira
memanjakan dengan kemewahan, namun tidak bererti ibu dan ayahnya mahu lepas
tangan dan melupakan tanggung jawab sebagai ibu bapa. Apa yang ibu Mira mahukan
ialah Mira dapat bersyukur dengan apa-apa yang Mira ada. Hal ini akan
membuatkan jiwa Mira kuat dan tabah menghadapi apa-apa jua dugaan Allah.
Setelah hampir setahun, Mira telah menunjukkan prestasi yang baik. Hal ini
menunjukkan Mira sudah faham sebab dia dihantar ke kampung. Setelah membaca
surat daripada ibunya, Mira melipat surat tersebut dengan baik. Sekali lagi air
mata Mira mengalir. Mira baru faham apa yang tersirat selama ini. Betapa besar
pengorbanan dan harapan ibu dan ayah terhadap Mira.
TEMA
Pengorbanan seorang ibu untuk
memastikan kejayaan anak-anaknya pada masa depan. Pengorbanan ini dapat dilihat melalui watak ibu yang
menghantar anak-anaknya ke kampung untuk tinggal besama-sama dengan ibu dan
ayahnya kerana tidak mahu anak-anaknya terdedah dengan gejala-gejala sosial
yang berlaku di bandar.
PERSOALAN
1.
Persoalan
kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anak.
Persoalan ini
dapat dilihat melalui watak ibu dan ayah yang rela berpisah dengan anak-anak
demi memastikan mereka membesar dalam persekitaran yang lebih sempurna.
2.
Persoalan
kesediaan anak untuk melepaskan kemewahan yang dikecapi.
Hal ini dapat
dilihat melalui watak Mira yang selama ini hidup mewah bersama dengan ibu
bapanya di bandar terpaksa hidup di kampung bersama-sama datuk dan neneknya
yang serba kekurangan di kampung.
3.
Persoalan
masalah sosial di bandar.
Gejala-gejala
sosial yang melanda masyarakat bandar adalah berpunca daripada pegangan agama,
pengaruh persekitaran dan pengaruh rakan sebaya.
4. Persoalan tentang masyarakat kampung yang
berpegang teguh pada ajaran agama.
Hal ini dapat dilihat melalui peristiwa
Mira diminta oleh neneknya memakai tudung
kepala kerana sebagai wanita Islam menutup
aurat adalah wajib dilakukan.
PLOT
Permulaan
Mira telah menerima warkah daripada
ibunya setelah hampir setahun Mira tinggal di kampung bersama dengan datuk dan
neneknya. Keputusan ibu dan ayahnya menghantar Mira untuk tinggal
dengan datuk dan neneknya telah menimbulkan seribu persoalan kepadanya.
Perkembangan
Mira dan keluarganya telah bersia-siap
untuk ke rumah datuknya di kampung. Mereka tidur bersama-sama dengan nyenyak
sekali kerana kepenatan seharian dalam perjalanan. Perpisahan dengan ibu dan
bapanya telah menimbulkan perasaan sayu
dan hiba Mira. Nenek telah mengajak Mira
ke kedai dan dia telah berkenalan dengan Suzana. Mira mula bersekolah di kampungnya dan suasana
persekolahan di sana telah memberikan kesedaran kepadanya. Mereka tidak
menghiraukan perkara-perkara lain selain mengulangkaji pelajaran.
Klimaks
Mira telah membaca surat yang dikirimkan
oleh ibunya. Dalam surat tersebut,
ibunya menyatakan tujuan sebenar dia menghantar Mira dan adik-adik ke kampung
kerana bimbang dengan gejala sosial yang melanda masyarakat bandar kini. Masalah sosial yang melanda masyarakat kota
begitu menghantui dan menakutkan ibunya. Manakala corak pergaulan dan
persekitaran di kampung masih yang terbaik kerana masih mengekalkan amalan dan
ciri-ciri hidup masyarakat berharmoni. Harapan
ibunya agar anak-anak menjadi anak yang solehah, mampu menghargai kasih sayang
dan pengorbanan orang tua.
Peleraian
Setelah
membaca warkah daripada ibunya, Mira memahami tujuan ibunya menghantarnya dan
adik-adiknya tinggal di kampung.
Teknik
Penceritaan
1.
Dialog
Contoh: “Mira... ibu terpaksa menghantar Mira dan
adik-adik tinggal dengan nenek di kampung pada hujung bulan ini,” tiba-tiba
saja ibu menyuarakan hasrat hatinya itu pada suatu hari. (m.s: 60)
2.
Deskriptif
(Pemerian)
Contoh: Aku berbangga mempunyai ibu bapa yang
penyayang. Walaupun sibuk dengan kerja dan tugas seharian di pejabat, mereka
masih ada waktu untuk bermesra dengan keluarga. Ibuku seorang yang lemah lembut
dan selalu setia kepada ayah. (m.s: 61)
3.
Monolog
Dalaman
Contoh: Keputusan ibu dan ayah menghantar aku dan
adik-adik untuk tinggal di kampung bersama datuk dan nenek, membuatkan aku
bertanyakan diriku dengan berbagai-bagai pertanyaan. (m/s 1)
Watak Utama
Amira
Ø Anak sulung daripada tiga beradik.
Ø Kakak kepada Aidil dan Manja.
Ø Seorang anak yang patuh dan
taat kepada ibu dan ayahnya.
Ø Seorang yang tabah dalam
menghadapi kesukaran hidup.
Ø Sangat menyayangi ibu dan
ayahnya.
Watak
Sampingan
Ibu
Ø Ibu kepada Mira, Aidil dan
Manja.
Ø Seorang yang lemah lembut.
Ø Setia kepada suami.
Ø Merupakan anak tunggal.
Ø Seorang ibu yang penyayang.
Ayah
Ø Bapa kepada Mira, Aidil dan
Manja.
Ø Seorang yang memahami perasaan
isteri.
Ø Menantu yang cukup mengasihi
mentuanya.
Ø Seorang bapa yang penyayang.
LATAR
Masa
1. Waktu malam
Ketika Mira dan
ahli keluarganya bermalam di rumah datuk dan neneknya.
2. Waktu siang
Hari ketika Ibu
Mira bersama-sama anak-anaknya bersiap untuk pulang ke kampung. Selain itu ,
semasa Mira dibawa oleh neneknya ke kedai Pak Uda Usop.
3. Waktu senja
Ketika Mira dan
keluarganya sampai ke kampung. Manakala datuk dan neneknya sedang bersiap untuk
ke masjid.
Tempat
1. Di rumah ibu dan bapa Mira di Johor Bharu
Semasa mereka bersiap-siap untuk pulang ke
kampung.
2. Di rumah datuk dan nenek Mira.
Peristiwa yang
dapat dilihat semasa ahli keluarga Mira
telah tidur berderetan di ruang tamu rumah datuk dan neneknya.
3. Di Kedai Pak Uda Usop.
Mira telah dibawa
ke sana oleh neneknya dan dia melihat anak-anak gadis seusianya yang sopan
berpakaian.
Masyarakat
1. Masyarakat bandar
Masyarakat yang
sedar tentang keruntuhan nilai moral. Ayah dan ibu Mira menyedari tentang
gejala sosial yang berlaku dalam kalangan masyarakat di bandar.
2. Masyarakat kampung
Masyarakat yang
masih kuat berpegang teguh dengan prinsip agama. Hal ini dapat dilihat semasa
Mira ke Kedai Pak Uda Usop, ramai anak gadis yang sebaya dengan Mira berpakaian
sopan dengan memakai baju kurung serta memakai tudung.
GAYA BAHASA
1.
Sinkope
Contoh:
bu (ibu), tak (tidak), nek (nenek), nak
(hendak)
2.
Metafora
Contoh: Sembilu rindu (m/s64)
3.
Diksi
Contoh:
Bahasa arab -
Assalamualaikum, Walaikummusalam (m.s 63)
4.
Peribahasa
Contoh:
Tidur-tidur ayam (m.s 62), makan angin (m.s :61)
NILAI
1.
Nilai
kasih sayang
Contoh:
Ibu dan ayah Mira sangat sayang akan
anak-anaknya.
2.
Nilai
pengorbanan
Contoh:
Setelah membaca warkah daripada ibunya,
Mira baru faham, betapa besar pengorbanan dan harapan ibu dan ayah terhadapnya.
3.
Nilai
kepatuhan
Contoh:
Dapat diperhatikan apabila nenek Mira
menyuruh Mira memakai tudung apabila keluar daripada rumah. Mira akur dengan arahan
neneknya walaupun sebelum ini Mira tidak memakai tudung.
PENGAJARAN
1.
Kita
hendaklah berkorban apa sahaja demi orang yang disayangi
2.
Kita
hendaklah tabah dan redha menghadapi dugaan
3.
Kita
hendaklah menghargai jasa dan
pengorbanan ibu bapa
LATIHAN
1.
Apakah
gaya bahasa yang digunakan dalam cerpen warkah daripada ibu? Berikan dua contoh
bagi setiap gaya bahasa tersebut.
2.
Berikan
dua nilai yang boleh diambil daripada cerpen ini.
Jawapan:
1.
Gaya
bahasa yang digunakan dalam cerpen Warkah daripada ibu ialah sinkope.
Contoh: tak (tidak), nak (hendak).
2.
Nilai
kasih sayang. Nilai ini dapat dilihat melalui perwatakan ibu yang sangat
menyayangi anak-anak dan ingin melihat anak-anaknya berjaya dalam hidup dunia
dan akhirat. Selain itu, nilai kepatuhan iaitu Mira patuh dengan kehendak ibu
bapanya yang mahu menghantarnya dan adik-adiknya ke kampung.
Good!
ReplyDelete