Wednesday, October 5, 2011

DENDAM


DENDAM
(SHARIZA A RAHMAN)

SINOPSIS

Cerpen  ‘Dendam’  ini  mengisahkan hubungan kekeluargan antara kakak, adik, ibu dan ayah. Kakak dengan gelarannya Along amat membenci adiknya Angah yang mengoyakkan buku latihan Fizik yang baru dibelinya. Sebelum itu adiknya pernah menconteng buku latihan Kimia dan Geografi sehingga didenda oleh gurunya Puan Maria. Along sangat berang dan marah dengan adiknya Angah sehingga sanggup menampar pipi adiknya. Selain itu Along juga menolak adik sehingga terjatuh. Ketika Angah ingin mengadu kepada ibunya Along menjeling menyebabkan Angah tidak sempat untuk mengadu.

            Ketika selesai makan malam ayah mengamuk kerana kertas kerjanya telah dikoyakkan oleh adik. Ayah memarahi Along kerana tidak menjaga adiknya dan melarang dari memasuki bilik bacaan ayah. Along cuba mempertahankan diri mengatakan itu perbuatan Angah. Ibu tetap memarahi Along walaupun pelbagai alasan yang diberikan sehingga ibu melabelkan Along biadap. Ayah hanya mendiamkan diri ketika ibu dan Along berhujah. Along cuba memasang perangkap untuk mengenakan adiknya.

            Satu lagi peristiwa yang menyebabkan kemarahan ibu meluap-luap apabila rantai pusaka keturunannya putus. Ibu menuduh Along yang menyebabkan rantai itu putus tapi Along menafikannya. Along menuduh Angah yang menyebabkan rantai itu putus. Angah yang sering mengoyakkan kertas kerja ayah dan kemungkinan Angah juga yang memutuskan rantai ibu. Ayah mengamuk dan merotan Angah dengan menggunakan tali pinggang. Teriakan dan raungan Angah bergema di seluruh rumah.

            Along kesian mendengar raungan Angah kerana Along sendiri tidak pernah dipukul sebegitu. Sepanjang hari Along tidak mendengar suara tawa nakal Angah. Apabila malam larut Along memasuki kamar Angah yang sedang lena tidur. Along menyelak baju kurung Angah dan kelihatan garis-garis merah dan biru kesan daripada pukulan menggunakan tali pinggang oleh ayah. Along kesian dan sedih melihat keadaan Angah. Akhirnya Angah mengatakan bahawa dia menyimpan rahsia orang yang memutuskan rantai ibu. Along memeluk  Angah kerana rasa terharu dan menyedari kasih sayang antara adik beradik.

TEMA

Konflik kekeluargaan merenggangkan hubungan kekeluargaan. Hubungan Along, Angah, ibu dan abah renggang kerana sedikit pertentangan. Along marah kepada abah dan ibu kerana sering menyebelahi Angah.

PERSOALAN


1.   Persoalan hubungan kekeluargaan.
   Contoh: Hubungan yang ditunjukkan oleh watak-watak di dalam cerpen ini terutama   
   ketika makan. Mereka sekeluarga selalu makan bersama-sama.

2.   Persoalan kebencian kepada adik.
Contoh:  Along sangat membenci adiknya yang sering menconteng dan mengoyakkan 
      buku latihannya sehingga dimarahi gurunya.

3.    Persoalan kasih sayang antara adik dan kakak.
Contoh: Pada akhir cerita Along dan Angah saling berpelukan menandakan kasih sayang antara kedua beradik tersebut.



PLOT

Permulaan
Cerpen ini dimulakan dengan Along marah apabila buku latihan Fiziknya yang baru dibeli semalam terconteng dan terkoyak oleh Angah adiknya. Sewaktu pulang bercuti dulu buku kerja Kimia menjadi mangsa. Along terpaksa mengorek tabung arnab untuk membeli buku teks Geografi tetapi telah dikoyak dan diconteng oleh Angah. Along memarahi Angah kerana perbuatannya dengan menampar pipi adiknya hingga terjatuh di atas sofa lalu menangis.



Perkembangan
Semasa hidangan makan malam ayah merungut dan memarahi  Along kerana membiarkan Angah masuk ke bilik bacaan ayah dan merenyuk dan mengoyakkan kertas kerja Ayah. Kemarahan ayah begitu lahap oleh api dendam yang membara.  Along cuba untuk membela diri dengan mengatakan bukan dia yang melakukan. Along juga merungut kerana setiap kesalahan adik akan ditanggung olehnya.  Along memohon agar ayah dan ibu bersikap adil padanya. Ayah dan ibu tetap memarahi Along, kerana dia adalah kakak. Along juga melawan kata-kata ayah dan ibunya.  Ibu mengatakan Along biadap kerana melawan cakap orang tua. Manakala ayah membisu mendengar pembelaan daripada Along. Kemuncak kemarahan , Along menghalau adiknya dari ruang tamu.

Klimaks
Klimaks cerpen ini apabila rantai mutiara ibu putus. Ibu mengamuk kerana terlalu menyayangi rantai pusaka turun temurun itu. Ayah cuba menenangkan ibu untuk membetulkan semula rantai yang putus tetapi tidak dihiraukan oleh ibu. Along tidak mengaku memutuskan rantai ibu dan menuduh Angah yang memutuskannya. Angah disebat dengan tali pinggang oleh ayah.

Peleraian
Along memasuki kamar Angah dan simpati terhadap adiknya. Angah menyelak baju kurung dan kelihatan garis-garis merah dan biru kesan daripada sebatan tali pinggang  ayah. Along memohon kemaafan daripada  Angah dan mereka berpelukan. Akhirnya, Along sedar adiknya memerlukan kasih sayang dan perhatiannya.

Teknik Penceritaan
1.  Dialog
Contoh:  “Nak jadi samseng!  Senang-senang koyakkan buku Along.”
“Angah Cuma tengok saja…”

2.  Imbas kembali.
Contoh:  Along teringatkan kisah adiknya mengoyakkan buku Geografi dan Kimianya pada cuti yang lalu.

3.  Monolog dalaman.
     Contoh:  Oh Tuhan! Kejamkah aku? Adilkah aku terhadap Angah?

WATAK DAN PERWATAKAN

Along
Ø  Cepat meradang terutama kepada adiknya.
Ø  Sering memarahi adiknya yang melakukan kesalahan.
Ø  Membenci adiknya kerana sering melakukan kesalahan.
Ø  Pernah disekat wang saku perbelanjaannya ke sekolah gara-gara perbuatan adiknya yang mengoyakkan wang ayahnya.

Angah
Ø  Gelaran Hantu Kecil yang diberikan oleh Along.
Ø  Berwajah comel.
Ø  Suka mengoyakkan kertas, buku, dan majalah.
Ø  Wajahnya pucat apabila dimarahi.
Ø  Buah hati ibu.

Abah
Ø  Seorang yang tegas.
Ø  Memukul adik dengan tali pinggang.

Emak
Ø  Suka menyebelahi adik.
Ø  Mempercayai telekan bidan mengatakan Angah membawa tuah.
Ø  Bersikap garang kepada Along.



LATAR


Masa
1.  Malam
Contoh: Selesai menikmati hidangan malam. Kedengaran ayah merungut-rungut marah      akan sesuatu.
2.  Tengah hari.
Contoh: Tengah hari, petang berterusan hingga malam, hatiku kosong tanpa suara tawa     nakal Angah.

Tempat
1.  Ruang tamu
Contoh:  Along memarahi dan menampar adiknya kerana mengoyakkan  buku latihannya.

2.  Di rumah
     Contoh:  Keseluruhan peristiwa berlaku di rumah.

3.  Di meja makan
Contoh:  Ayah merungut-rungut marah akan sesuatu selepas selesai makan malam.

4.  Di katil
Contoh:  Along menyedari kesilapannya dan memohon maaf kepada Angah.

Masyarakat
1.  Masyarakat Pelajar
Contoh: Dapat dilihat pada watak Along yang bercuti dari asrama . Juga buku latihan sekolahnya diconteng dan dikoyakkan oleh adik.

2.  Masyarakat Guru
Contoh:  Dahulu, Puan Maria, Guru Kimia yang mengajar Along mendenda Along kerana buku latihannya dikoyakkan oleh adik.
3.  Masyarakat Pengamal Undang-Undang
Contoh:  Ayah mereka bekerja sebagai Hakim. Along meminta ayahnya supaya adil dalam menjatuhkkan hukuman kepadanya.

Text Box: Gaya Bahasa 


1.  Sinkope
Contoh:  Ah, sakit hatiku melihat senyumannya. (Singkatan kata ku )  Dan tanpa kusedari, tanganku ringan saja menyinggahi pipinya itu.

2.  Kata Ganda
Contoh:  Selesai menikmati hidangan malam. Kedengaran ayah merungut-rungut marah akan sesuatu.

3.  Peribahasa
     Contoh:  Berat sebelah,tebal muka, menagih kasih.

4.  Metafora
     Contoh:  Penjuru hatiku, api dendam, keluhanku bertaburan, putik-putik dendam.

5.  Personifikasi
     Contoh:  Hatiku dijurus lahar beracun.

6.  Antomomisia (memperlihatkan sifat sesaorang)
    Contoh: Hantu kecil

7.  Totologi (Perulangan untuk penegasan)
     Contoh:  Benci. Aku benci.



NILAI


1.  Nilai kasih sayang

Contoh:  Baru aku sedar sekarang aku ada seorang adik yang memerlukan kasih sayang dan perhatianku.


2.  Nilai berdikari

Contoh:  Along berdikari dengan membeli sendiri buku Geografinya yang dikoyakkan oleh Angah dengan menggunakan wang simpanan tabungnya.


3.  Nilai hemah tinggi

Contoh:  Walaupun dalam api kemarahan, Along masih menggunakan kata-kata yang baik untuk tidak bersetuju dengan pendapat ibu dan ayahnya.


4.  Nilai hormat menghormati

Contoh:  Angah amat menghormati kakaknya walaupun dibenci dan ditampar oleh kakaknya.


5.  Nilai kesyukuran

Contoh:  Along bersyukur kerana sedar daripada kesilapannya yang amat membenci adiknya sehinggap sanggup menampar pipi adiknya.


PENGAJARAN




1.  Kita harus bersabar dengan kerenah adik kita

Contoh:  Apabila malam semakin larut, aku memasuki kamar Angah, sunyi. Hatiku dilanda resah.  Perlahan-lahan aku menghampiri Angah yang sedang lena di katil comelnya.


2.  Kita janganlah mempercayai tilikan.

Contoh:  Syah dan ibu seakan percaya akan tilikan bidan yang membidankan kelahiran Angah.  Aku sungguh hairan melihat ayah dan ibu masuk dalam golongan intelek, masih percaya kepada tilikan yang mengatakan Angah akan membawa tuah kepada keluarga.

3.  Kita janganlah memperbesarkan perkara-perkara yang kecil

Contoh:  Perkara macam itu pun engkau hendak besar-besarkan. Angah bukankah adik engkau.


4.  Kita hendaklah  mempunyai sikap sayang menyayangi antara ahli keluarga.

Contoh: Aku mengangguk sambil memeluk dan mencium pipi Angah. Buat pertama kali ini aku aku memeluk dan mengucupinya.


5.  Kita hendaklah memaafkan kesalahan orang terhadap kita.

     Contoh:  Along dan Angah saling bermaafan antara satu sama lain.



LATIHAN


1.  Nyatakan pengajaran yang terdapat dalam petikan di atas?
        “Angah maafkan Along”.

2.  Apakah nilai yang terdapat dalam petikan di atas?
“Angah boleh simpan rahsia.  Angah tak bohong.  Angah tak susahkan Along.  Along sayang Angah tak?’

Jawapan
1.  Kita hendaklah memaafkan kesalahan orang terhadap kita.
2.  Nilai kasih sayang, kebersihan fizikal dan mental, dan hemah tinggi.

No comments:

Post a Comment