Wednesday, October 5, 2011

Di Sini Bakti Bersemadi


Di Sini Bakti Bersemadi
(Ajes Tuah)


SINOPSIS

Drama ini mengisahkan muda-mudi yang lebih berminat bekerja sendiri daripada bekerja makan gaji.  Hal ini dibuktikan oleh Tini yang mempunyai diploma tetapi mengusahakan perusahaan kraftangan di kampungnya.  Usaha Tini ini disokong kuat oleh rakan baiknya, Amin yang juga mengusahakan penternakan ayam.
 
            Pada mulanya hasrat Tini untuk bekerja sendiri mendapat tentangan daripada ayahnya dan tunangnya, Kamal.  Kamal berhajat mempercepat hari perkahwinannya dan hal ini dipersetujui oleh ayah Tini. Tini pula tidak bersetuju sebaliknya ingin menangguhkannya kerana mahu membangunkan perusahaannya sehingga berjaya terlebih dahulu.

            Amin berjaya menangkap Malek yang cuba mencuri ayam-ayamnya.  Amin yang terserempak dengan ayah Tini mengagumi semangat dan kegigihan Tini.  Ayah Tini memuji kejayaan Amin yang sepatutnya menjadi contoh generasi muda hari ini.  Ayah Tini turut menyatakan rasa kesalnya kerana tidak menyokong usaha Tini pada peringkat awal dahulu. 

            Amin cedera dan mesin-mesin Tini dirosakkan pada suatu malam.  Ayah Tini berjaya memerangkap Malek sebagai orang yang terlibat dalam kejadian malam itu.  Tini pula bertengkar dan memarahi Kamal kerana menjadi dalang dalam kejadian tersebut. Tini memutuskan pertunangannya dengan Kamal.  Tini dan Amin gembira meneruskan kerjaya mereka masing-masing.

PEMIKIRAN


Drama ini memaparkan kegigihan muda-mudi yang  bekerja sendiri walaupun mempunyai kelulusan yang tinggi.  Sikap nekad ini terbukti berjaya,meskipun mendapat tentangan hebat daripada ahli keluarga sendiri.  Hal ini dibuktikan oleh Tini yang bertekad membuat perusahaan kraftangan di kampungnya sendiri. 
  

PERSOALAN


1.      Persoalan kemampuan wanita dalam menjana ekonomi negara.
2.      Persoalan sikap tidak memilih pekerjaan yang setaraf dengan kelulusan.
3.      Persoalan idola/pencetus/pendorong semangat atas kejayaan orang lain.
4.      Persoalan berwawasan dalam kerjaya.



PLOT

·         Permulaan

      Drama ini dimulakan dengan peristiwa Tini berbual-bual dengan Amin di tempat ternakan ayam Amin.  Tini menyatakan hasratnya untuk bekerja sendiri.  Amin menyokong hasrat Tini dan mengingatkan Tini akan risiko bekerja sendiri.

·         Perkembangan

      Ayah Tini dan tunangnya, Kamal membantah hasrat Tini untuk bekerja sendiri.  Amin melawat tempat perusahaan kraftangan Tini dan kagum akan perkembangan perusahaannya. 

·         Konflik

      Kamal datang ke rumah Tini dan menyatakan hasratnya untuk mempercepat hari perkahwinannya.  Tini tidak bersetuju sebaliknya ingin menangguhkannya kerana mahu membangunkan perusahaannya sehingga berjaya terlebih dahulu.  Amin menangkap Malek yang cuba mencuri ayam di tempat ternakan ayamnya. 

·         Klimaks

      Klimaks drama ini pada peristiwa Amin cedera akibat dipukul dan mesin-mesin perusahaan Tini dirosakkan.

·         Peleraian

      Drama diakhiri dengan penangkapan Malek dan Kamal.  Pertunangan Tini dan Kamal juga telah diputuskan.


Teknik Penceritaan

Drama Di Sini Bakti Bersemadi tidak memaparkan teknik penceritaan secara langsung mahupun secara suara latar.




WATAK DAN PERWATAKAN



Watak utama

Tini

Ø  Seorang yang berpendidikan tinggi iaitu memiliki diploma.
Ø  Berkawan baik dengan Amin. 
Ø  Seorang yang gigih berusaha membangunkan perusaahan sendiri - kraftangan.
Ø  Meminati bidang perniagaan. 
Ø  Seorang yang tegas dan tetap pendirian dalam membuat keputusan.
Ø  Tunangan orang – tunang kepada Kamal
Ø  Seorang yang suka berdikari – tidak mahu mengharapkan bantuan orang


Watak sampingan

Amin

Ø  Kawan baik Tini.
Ø  Mengusahakan penternakan ayam. 
Ø  Menjadi sumber inspirasi untuk Tini bekerja sendiri di kampung. 
Ø  Gigih, sabar dan bersemangat tinggi dalam usahanya memajukan bidang penternakan ayam. 
Ø  Berpandangan jauh / berwawasan.
Ø  Mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidang perniagaan 


Ayah

Ø  Dikenali juga sebagai Pak Hamid. 
Ø  Menentang hasrat Tini untuk bekerja sendiri pada mulanya. 
Ø  Yakin / percaya akan kegigihan dan semangat waja Tini untuk berjaya dalam perusahaan kraftangannya. 
Ø  Bijak memerangkap Malek dengan berbual-bual dengannya.






Kamal

Ø  Tunang Tini.
Ø  Tidak menyokong usaha Tini bekerja sendiri.
Ø  Ingin mempercepatkan hari perkahwinannya. 
Ø  Mementingkan diri sendiri – mengupah Malek merosakkan mesin-mesin Tini untuk menggagalkan perusahaan Tini. 


Malek

Ø  Seorang pencuri. 
Ø  Mudah dipengaruhi untuk melakukan sesuatu perkara,asalkan dibayar upah yang setimpal.

LATAR



Masa

Ø  Latar masa tidak dinyatakan dengan jelas. Latar waktu senja dinyatakan dalam perbualan antara ayah Tini dengan Amin.


Tempat

Ø  Latar tempat tidak dinyatakan dengan jelas dalam drama.  Berdasarkan situasi dialog dan perbualan watak latar tempat drama ini dapat dikategorikan seperti berikut:

·         Kampung
·         Tempat ternakan ayam Amin
·         Di rumah Tini – Perbualan Tini dan ayahnya. Ayahnya menentang hasrat Tini              untuk bekerja sendiri
·         Tempat Perusahaan Kraftangan Tini
·         Depan balai polis
·         Di rumah Amin


Masyarakat

Ø  Golongan muda  yang suka bekerja sendiri berbanding kerja makan gaji.
Ø  Masyarakat yang memandang rendah akan kemampuan wanita.
Ø  Masyarakat yang iri hati akan kejayaan orang lain. 


GAYA BAHASA

Keseluruhannya drama ini menggunakan gaya bahasa yang mudah difahami.  

1.    Sinkope
Contoh: Takkan aku nak ajak dia pula (m/s: 100)

2.    Peribahasa
Contoh: Di beri betis, minta paha lagi
        Telunjuk lurus, tapi kelingking berkait.  Nasi sudah menjadi bubur
        (m/s: 112)
        Di mana aku berpijak, di situlah langit aku junjung
           
 
3.    Bahasa Arab

Contoh:  Assalamualaikum, Waalaikummussalam, Alhamdulillah




NILAI

1.   Nilai kerjasama
Amin memberikan kerjasama kepada Tini untuk memastikan Tini Berjaya dalam perusahaannya.

2.   Nilai berdikari
Amin dan Tini lebih suka berdikari membangunkan perusahaan mereka sendiri daripada bekerja makan gaji.

3.   Nilai keberanian
Golongan muda iaitu Tini dan Amin yang berani menceburkan diri dalam bidang perniagaan/perusahaan.

4.    Nilai kegigihan
Tini dan Amin gigih untuk merealisasikan impian mereka dalam bidang masing-masing tercapai.




PENGAJARAN


1.    Kita mestilah gigih berusaha untuk memajukan diri.
2.    Kita mesti yakin akan kemampuan diri sendiri untuk terus berjaya.
3.    Kita harus memanfaatkan ilmu yang dipelajari dalam kehidupan.
4.    Kita mesti membantu orang yang memerlukan bimbingan dan nasihat daripada kita.
5.    Kita perlu bijak merancang masa depan.
6.    Jangan berprasangka buruk terhadap orang lain.
7.    Kita perlu jujur dan ikhlas dalam pergaulan.



LATIHAN


1.    Senaraikan peribahasa yang terdapat dalam drama.

2.    Nyatakan watak yang kamu minat dalam drama ini.  Kemukakan perwatakan watak itu.


Jawapan

1.  Peribahasa yang terdapat dalam drama Di Sini Bakti Bersemadi.

  • Lampu hijau
  • Telunjuk lurus, kelengkeng berkait
  • Cemburu buta
  • Di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung.



2.  Watak dan perwatakan yang diminati dalam drama Di Sini Bakti Bersemadi

  • Tini
Memiliki diploma.  Berkawan baik dengan Amin.  Bekerja sendiri-perusahaan kraftangan.  Gigih berusaha.  Tegas.   

  • Amin
Kawan baik Tini. Mengusahakan penternakan ayam.  Menjadi sumber inspirasi untuk Tini bekerja sendiri di kampung.  Gigih berusaha memajukan bidang penternakan ayam.  Berpandangan jauh/berwawasan.  




CAPA RENGAT


CAPA RENGAT
(BAHARUDDIN KAHAR)
SINOPSIS

Cerpen “Capa Rengat” mengisahkan seorang remaja yang ingin merasai kehidupan di kampung ibunya.  Pada waktu petang, “Aku” akan mengikut bapa saudaranya Pak Cik Kinto,  ke bukit-bukit di keliling kampung untuk menyedut udara segar dan menembak burung-burung serta menjengah ikan-ikan di sungai. Hubungan Pak Cik KInto dan “Aku” seperti belangkas.

            Pada sebelah petangnya, “Aku” tidak dapat ke mana-mana kerana Pak Cik Kinto pergi untuk berurusan dengan peguam. Ibu “Aku” pula berasa bosan tinggal lebih lama di kampung. “Aku” mengambil keputusan merayau-rayau di sekeliling kampung. Ketika lalu di sebidang paya, “Aku” melihat lima orang anak muda sedang bermain di  bahagian tepi paya.

            Seorang budak perempuan, Su mengajak “Aku” bermain bersama-sama mereka. Permainan yang dimainkan begitu janggal dan “Aku” berasa kekok pada permulaannya tetapi kemesraan budak-budak kampung menghilangkan rasa kekok “Aku”. Akhir sekali, “Aku” diajak bermain  rumah katak. Setiap kali rumah katak “Aku” siap dibina, Su akan memecahkannya.

            “Aku” cuba menangkap Su kerana mempersenda-senda kebolehan “Aku”. Rupa-rupanya, Su begitu lincah meniti batang  dan melompat hingga ke seberang paya. Tanpa diduga, Su menghampiri “Aku” dan menghadiahkan sekuntum bunga Capa Rengat  atau bunga melur hutan yang berbau wangi. Kami seolah-olah dibuai perasaan apabila berganding bahu menyiapkan rumah katak dalam kota buatan.

            Tiba-tiba, ketika “Aku” dan Su asyik membina  jalan menuju pintu masuk kota buatan, seorang budak lelaki berumur lapan tahun menjerit nama Su.  Su terpaksa pulang ke rumah dengan segera.  “Aku” mengenal pasti Su mempunyai seorang ibu tiri yang bengis daripada kawan-kawan sepermainan. Budak yang memanggilnyaSu itu ialah adik tirinya.

            Pada sebelah malamnya, “Aku” tidur dengan nyenyak. Bunga Capa Rengat diletakkan di dalam botol berisi air.  “Aku” ingin merasai kesegaran bau wangi Capa Rengat  dalam tidur.

            Setelah sehari berada di kampung , ibu memutuskan siri lawatan ke kampung dipendekkan. Pak Cik Kinto dan Mak Cik Kinto meminta ibu memanjangkan tempoh di kampung tetapi ibu mendesak-desak untuk pulang. “Aku” berasa terharu untuk meninggalkan kampung dan kesayuan hatiku makin mendayu-dayu.

            Dalam keadaan separuh sedar , “Aku” bertanyakan kepada ibu tentang kesediaannya untuk pulang ke kampung semula. Malangnya, ibu melahirkan ketegasan untuk tidak pulang ke kampung lagi kerana urusan tanah dan rumah pusaka sudah selesai. Keputusan ibu membuatkan “Aku” sedih apabila “Aku” terpandang bunga Capa Rengat yang sudah layu dan  terkenangkan wajah Su.

TEMA

Perasaan cinta pada kehidupan dan suasana di kampung. “Aku” telah mengalami pengalaman  yang menarik hidup di kampung.  Contohnya, semasa “Aku” mengikut Pak Cik Kinto menembak burung dan menyedut udara pergunungan yang segar.



PERSOALAN


1.  Persoalan perasaan cinta sesama manusia melangkaui budaya.
Contoh:  Aku yang berasal dari bandar menyukai Su yang tinggal di kampung yang jauh dari arus pembangunan.

2.  Persoalan kemesraan membuahkan kualiti persahabatan.
Contoh:  Kemesraan yang ditunjukkan oleh Su kepada aku menyebabkan aku amat suka tinggal di kampung hingga sukar untuk melupakan kampung walaupun pada asalnya aku amat tidak selesa berada di kampung.

3.  Persoalan menghargai keaslian alam sebagai anugerah Tuhan.
Contoh: Dapat dilihat pada watak aku yang nenghargai dan menjaga Capa Rengat yang diberikan oleh Su.

4.  Persoalan mengenang kembali tempat asal usul.
     Contoh:  Su seronok mandi sungai dan bermain ‘kota Buatan’ tempat asal ibunya.


PLOT


Permulaan
Aku pulang ke kampung bersama-sama dengan ibunya untuk menguruskan tanah pusaka dan rumah pusaka. Mereka berdua tinggal di rumah Pak Cik Kinto, bapa saudara “Aku”. Pada waktu pagi, Pakcik Kinto melayani “Aku” dengan membawanya berjalan-jalan di bukit sekeliling kampung.

Perkembangan
Pada sebelah petang, “Aku” merayau-rayau di sekeliling kampung kerana Pak Cik Kinto ke kota untuk berurusan dengan peguam.  “Aku” bertemu dengan sekumpulan budak kampung yang sedang bermain di tepi paya. Salah seorang budak perempuan kampung yang bernama Su mengajak “Aku” bermain bersama-sama dengan mereka. Ketika bermain, Su telah memberikan Aku sekuntum bunga Capa Rengat (melur hutan). Kerana leka bermain, Su dipanggil pulang oleh adik lelaki tiri nya pulang ke rumah. “Aku” pulang ke rumah dan meletakkan bunga Capa Rengat dalam botol berisi air.

Klimaks
Keesokan paginya, “Aku” dikejutkan dengan keputusan ibu untuk pulang ke kota. “Aku” berasa sedih dengan keputusan ibu kerana baru hendak merasai kenikmatan suasana kampung.

Peleraian
“Aku” pulang ke kota dengan kenangan yang indah hasil pemberian bunga Capa Rengat daripada Su, seorang gadis kampung.


Teknik Penceritaan

Cerita disusun mengikut kronologi urutan masa.

1.   Pemerian
Contoh:  Kami menyedut udara pergunungan yang segar. Kami melihat burung-burung berterbangan. Di samping itu, Pak Cik Kinto tidak pernah lupa membawa senapang patahnya, kalau-kalau bertemu denak.

2.  Dialog
     Contoh:  “Cantik,ya !” kata budak perempuan itu.
     “Cantik, “ jawabku pendek sambil merenung matanya yang jernih ghairah itu.

3.  Kejutan
     Contoh:  Adik tiri Su muncul dan memanggil Su pulang semasa “Aku” sedang bermain   
     dengan Su dan kawan-kawannya.


WATAK DAN PERWATAKAN

 “Aku”
Ø  Seorang anak remaja
Ø  Menghargai alam sekitar
Ø  Proaktif dan cergas
Ø  Mempunyai pandangan bernas
Ø  Berfikiran positif

Ibu
Ø  Pertengahan usia
Ø  Tegas dengan pendirian
Ø  Sikap terburu-buru membuat keputusan
Ø  Prihatin terhadap orang lain
Ø  Berperilaku mesra

Su
Ø  Budak perempuan awal remaja
Ø  Bersikap periang
Ø  Aktif dan cergas
Ø  Bijak mengolah keadaan
Ø  Taat kepada ibu

Pakcik Kinto
Ø  Bapa saudara “Aku”
Ø  Mahir selok-belok di kampung
Ø  Mempunyai kemahiran menembak
Ø  Ikhlas melayani tetamu
Ø  Melaksanakan urusan dengan cekap




LATAR


Masa
Cerita berlatarkan masa sehari “Aku”  tinggal di kampung. Peristiwa-peristiwa diolah oleh pengarang merentasi waktu pagi, petang, dan malam.

Ø  Pagi – “Aku” dan ibu bertolak pulang ke bandar setelah seharian berada di kampung.
Ø  Petang – “Aku” dibawa oleh Pak Cik Kinto ke bukit  di belakang rumah Pak Cik Kinto untuk menikmati pemandangan dan menyedut udara segar di situ.
Ø  Malam – “Aku” tidur dengan nyenyak kerana terlalu letih setelah seharian bermain dengan budak-budak kampung.

Tempat
Latar tempat cerita berkisar di sebuah perkampungan Melayu yang berlatar belakang  bukit-bukau dan tanah paya
Ø  Bukit di belakang rumah Pak Cik Kinto – tempat Pak Cik Kinto membawa “Aku” bersiar-siar untuk menikmati pemandangan dan menyedut udara segar di situ.
Ø  Paya – tempat kanak-kanak kampung berenang dan bermain di tepinya.
Ø  Rumah Pak Cik Kinto – tempat “Aku” dan ibu bermalam ketika pulang ke kampung.

Masyarakat

1.   Masyarakat bandar
Contoh:  Diwakili oleh watak aku yang berasal dan dibesarkan di bandar begitu kekok waktu mula-mula sampai di kampung.


2.  Masyarakat kampung
     Contoh:  Pak Cik Kinto yang sering ke hutan untuk berburu.


3.  Masyarakat yang berpegang teguh pada ajaran Islam
Contoh:  Ibu membetulkan tudungnya yang ditiup angin supaya melindungi rambutnya kerana untuk menutupi aurat.


4.  Masyarakat yang menghargai alam sekitar
Contoh:  Su sangat mengenali alam kampungnya dan menyukainya serta menghadiahkan aku bunga Capa Rengat.

5.  Masyarakat yang suka berburu
     Contoh:  Pak Cik Kinto sering berburu di hutan.
GAYA BAHASA

1.  Kata Ganda
     Contoh:  Tiba-tiba, seolah-olah, bukit-bukit, kadang-kadang, baik-baik

2.  Anafora
     Contoh: Mengapa jadi sayu? Mengapa jadi kesepian?

3.  Inversi (Keterbalikan ayat)
Contoh:  Demi memandang gunung-ganang dan padang belukarnya yang subur itu, segala rasa kesepian itu hilang. Sepatutnya. Segala rasa kesepian itu hilang apabila memandang gunung-ganang dan padang belukarnya yang subur itu.

4.  Personifikasi
     Contoh:  Melahirkan sinar cemburu.

5.  Simile
     Contoh: Seperti ada sesuatu yang memukul-mukul hatiku.

6.  Simpulan bahasa
     Contoh:  Seperti belangkas


NILAI


1.   Nilai keberanian
Su berani untuk meniti di atas sebatang tiang untuk menyeberang sungai yang dalam.

2.  Nilai hemah tinggi
Su dan rakan-rakanya menegur aku dan mengajak aku bermain bersama mereka walaupun baru pertama kali berjumpa.

3.  Nilai kerajinan
     Pak Cik Kinto rajin untuk membawa aku berburu bagi mendapatkan rezeki.

4.  Nilai kerjasama
     Su dan aku bekerjasama membina rumah katak semasa bermain.

PENGAJARAN


1.  Kita hendaklah menghargai alam sekitar.
Pak Cik Kinto dan aku menghargai keindahan alam sekitar semasa pergi berburu di hutan.

2.  Kita hendaklah menghargai persahabatan.
Contoh:  Aku menghargai persahabatan dengan Su dan sanggup menjaga bunga Capa Rengat yang diberi oleh Su kepadanya.

3.  Kita hendaklah menyemaikan kasih sayang antara keluarga.
     Contoh:  Aku menyayangi Pak Cik Kinto bapa saudaranya walaupun baru saja mengenalinya.

4.  Hendaklah kita bekerjasama dalam melakukan sesuatu perkara yang sukar.
Contoh:  Su,aku dan rakan-rakannya bekerjasama membina rumak katak dan jalan ke rumah katak.

LATIHAN

1.  Apakah gaya bahasa yang terdapat dalam petikan di bawah?
“Cantik,ya !”  kata budak perempuan itu.
“Cantik,”  jawabku pendek sambil merenung matanya yang jernih  ghairah itu.

2.  Nyatakan nilai yang terdapat dalam petikan di bawah?
“Hei…!  Nanti kau jatuh!” aku berseru demi melihat tangannya tergewang-gewang meniti batang.

Jawapan
1. Sinkof - Jawabku
   Anafora pengulangan kata cantik, cantik

2. Nilai keberanian dan kerjasama

DENDAM


DENDAM
(SHARIZA A RAHMAN)

SINOPSIS

Cerpen  ‘Dendam’  ini  mengisahkan hubungan kekeluargan antara kakak, adik, ibu dan ayah. Kakak dengan gelarannya Along amat membenci adiknya Angah yang mengoyakkan buku latihan Fizik yang baru dibelinya. Sebelum itu adiknya pernah menconteng buku latihan Kimia dan Geografi sehingga didenda oleh gurunya Puan Maria. Along sangat berang dan marah dengan adiknya Angah sehingga sanggup menampar pipi adiknya. Selain itu Along juga menolak adik sehingga terjatuh. Ketika Angah ingin mengadu kepada ibunya Along menjeling menyebabkan Angah tidak sempat untuk mengadu.

            Ketika selesai makan malam ayah mengamuk kerana kertas kerjanya telah dikoyakkan oleh adik. Ayah memarahi Along kerana tidak menjaga adiknya dan melarang dari memasuki bilik bacaan ayah. Along cuba mempertahankan diri mengatakan itu perbuatan Angah. Ibu tetap memarahi Along walaupun pelbagai alasan yang diberikan sehingga ibu melabelkan Along biadap. Ayah hanya mendiamkan diri ketika ibu dan Along berhujah. Along cuba memasang perangkap untuk mengenakan adiknya.

            Satu lagi peristiwa yang menyebabkan kemarahan ibu meluap-luap apabila rantai pusaka keturunannya putus. Ibu menuduh Along yang menyebabkan rantai itu putus tapi Along menafikannya. Along menuduh Angah yang menyebabkan rantai itu putus. Angah yang sering mengoyakkan kertas kerja ayah dan kemungkinan Angah juga yang memutuskan rantai ibu. Ayah mengamuk dan merotan Angah dengan menggunakan tali pinggang. Teriakan dan raungan Angah bergema di seluruh rumah.

            Along kesian mendengar raungan Angah kerana Along sendiri tidak pernah dipukul sebegitu. Sepanjang hari Along tidak mendengar suara tawa nakal Angah. Apabila malam larut Along memasuki kamar Angah yang sedang lena tidur. Along menyelak baju kurung Angah dan kelihatan garis-garis merah dan biru kesan daripada pukulan menggunakan tali pinggang oleh ayah. Along kesian dan sedih melihat keadaan Angah. Akhirnya Angah mengatakan bahawa dia menyimpan rahsia orang yang memutuskan rantai ibu. Along memeluk  Angah kerana rasa terharu dan menyedari kasih sayang antara adik beradik.

TEMA

Konflik kekeluargaan merenggangkan hubungan kekeluargaan. Hubungan Along, Angah, ibu dan abah renggang kerana sedikit pertentangan. Along marah kepada abah dan ibu kerana sering menyebelahi Angah.

PERSOALAN


1.   Persoalan hubungan kekeluargaan.
   Contoh: Hubungan yang ditunjukkan oleh watak-watak di dalam cerpen ini terutama   
   ketika makan. Mereka sekeluarga selalu makan bersama-sama.

2.   Persoalan kebencian kepada adik.
Contoh:  Along sangat membenci adiknya yang sering menconteng dan mengoyakkan 
      buku latihannya sehingga dimarahi gurunya.

3.    Persoalan kasih sayang antara adik dan kakak.
Contoh: Pada akhir cerita Along dan Angah saling berpelukan menandakan kasih sayang antara kedua beradik tersebut.



PLOT

Permulaan
Cerpen ini dimulakan dengan Along marah apabila buku latihan Fiziknya yang baru dibeli semalam terconteng dan terkoyak oleh Angah adiknya. Sewaktu pulang bercuti dulu buku kerja Kimia menjadi mangsa. Along terpaksa mengorek tabung arnab untuk membeli buku teks Geografi tetapi telah dikoyak dan diconteng oleh Angah. Along memarahi Angah kerana perbuatannya dengan menampar pipi adiknya hingga terjatuh di atas sofa lalu menangis.



Perkembangan
Semasa hidangan makan malam ayah merungut dan memarahi  Along kerana membiarkan Angah masuk ke bilik bacaan ayah dan merenyuk dan mengoyakkan kertas kerja Ayah. Kemarahan ayah begitu lahap oleh api dendam yang membara.  Along cuba untuk membela diri dengan mengatakan bukan dia yang melakukan. Along juga merungut kerana setiap kesalahan adik akan ditanggung olehnya.  Along memohon agar ayah dan ibu bersikap adil padanya. Ayah dan ibu tetap memarahi Along, kerana dia adalah kakak. Along juga melawan kata-kata ayah dan ibunya.  Ibu mengatakan Along biadap kerana melawan cakap orang tua. Manakala ayah membisu mendengar pembelaan daripada Along. Kemuncak kemarahan , Along menghalau adiknya dari ruang tamu.

Klimaks
Klimaks cerpen ini apabila rantai mutiara ibu putus. Ibu mengamuk kerana terlalu menyayangi rantai pusaka turun temurun itu. Ayah cuba menenangkan ibu untuk membetulkan semula rantai yang putus tetapi tidak dihiraukan oleh ibu. Along tidak mengaku memutuskan rantai ibu dan menuduh Angah yang memutuskannya. Angah disebat dengan tali pinggang oleh ayah.

Peleraian
Along memasuki kamar Angah dan simpati terhadap adiknya. Angah menyelak baju kurung dan kelihatan garis-garis merah dan biru kesan daripada sebatan tali pinggang  ayah. Along memohon kemaafan daripada  Angah dan mereka berpelukan. Akhirnya, Along sedar adiknya memerlukan kasih sayang dan perhatiannya.

Teknik Penceritaan
1.  Dialog
Contoh:  “Nak jadi samseng!  Senang-senang koyakkan buku Along.”
“Angah Cuma tengok saja…”

2.  Imbas kembali.
Contoh:  Along teringatkan kisah adiknya mengoyakkan buku Geografi dan Kimianya pada cuti yang lalu.

3.  Monolog dalaman.
     Contoh:  Oh Tuhan! Kejamkah aku? Adilkah aku terhadap Angah?

WATAK DAN PERWATAKAN

Along
Ø  Cepat meradang terutama kepada adiknya.
Ø  Sering memarahi adiknya yang melakukan kesalahan.
Ø  Membenci adiknya kerana sering melakukan kesalahan.
Ø  Pernah disekat wang saku perbelanjaannya ke sekolah gara-gara perbuatan adiknya yang mengoyakkan wang ayahnya.

Angah
Ø  Gelaran Hantu Kecil yang diberikan oleh Along.
Ø  Berwajah comel.
Ø  Suka mengoyakkan kertas, buku, dan majalah.
Ø  Wajahnya pucat apabila dimarahi.
Ø  Buah hati ibu.

Abah
Ø  Seorang yang tegas.
Ø  Memukul adik dengan tali pinggang.

Emak
Ø  Suka menyebelahi adik.
Ø  Mempercayai telekan bidan mengatakan Angah membawa tuah.
Ø  Bersikap garang kepada Along.



LATAR


Masa
1.  Malam
Contoh: Selesai menikmati hidangan malam. Kedengaran ayah merungut-rungut marah      akan sesuatu.
2.  Tengah hari.
Contoh: Tengah hari, petang berterusan hingga malam, hatiku kosong tanpa suara tawa     nakal Angah.

Tempat
1.  Ruang tamu
Contoh:  Along memarahi dan menampar adiknya kerana mengoyakkan  buku latihannya.

2.  Di rumah
     Contoh:  Keseluruhan peristiwa berlaku di rumah.

3.  Di meja makan
Contoh:  Ayah merungut-rungut marah akan sesuatu selepas selesai makan malam.

4.  Di katil
Contoh:  Along menyedari kesilapannya dan memohon maaf kepada Angah.

Masyarakat
1.  Masyarakat Pelajar
Contoh: Dapat dilihat pada watak Along yang bercuti dari asrama . Juga buku latihan sekolahnya diconteng dan dikoyakkan oleh adik.

2.  Masyarakat Guru
Contoh:  Dahulu, Puan Maria, Guru Kimia yang mengajar Along mendenda Along kerana buku latihannya dikoyakkan oleh adik.
3.  Masyarakat Pengamal Undang-Undang
Contoh:  Ayah mereka bekerja sebagai Hakim. Along meminta ayahnya supaya adil dalam menjatuhkkan hukuman kepadanya.

Text Box: Gaya Bahasa 


1.  Sinkope
Contoh:  Ah, sakit hatiku melihat senyumannya. (Singkatan kata ku )  Dan tanpa kusedari, tanganku ringan saja menyinggahi pipinya itu.

2.  Kata Ganda
Contoh:  Selesai menikmati hidangan malam. Kedengaran ayah merungut-rungut marah akan sesuatu.

3.  Peribahasa
     Contoh:  Berat sebelah,tebal muka, menagih kasih.

4.  Metafora
     Contoh:  Penjuru hatiku, api dendam, keluhanku bertaburan, putik-putik dendam.

5.  Personifikasi
     Contoh:  Hatiku dijurus lahar beracun.

6.  Antomomisia (memperlihatkan sifat sesaorang)
    Contoh: Hantu kecil

7.  Totologi (Perulangan untuk penegasan)
     Contoh:  Benci. Aku benci.



NILAI


1.  Nilai kasih sayang

Contoh:  Baru aku sedar sekarang aku ada seorang adik yang memerlukan kasih sayang dan perhatianku.


2.  Nilai berdikari

Contoh:  Along berdikari dengan membeli sendiri buku Geografinya yang dikoyakkan oleh Angah dengan menggunakan wang simpanan tabungnya.


3.  Nilai hemah tinggi

Contoh:  Walaupun dalam api kemarahan, Along masih menggunakan kata-kata yang baik untuk tidak bersetuju dengan pendapat ibu dan ayahnya.


4.  Nilai hormat menghormati

Contoh:  Angah amat menghormati kakaknya walaupun dibenci dan ditampar oleh kakaknya.


5.  Nilai kesyukuran

Contoh:  Along bersyukur kerana sedar daripada kesilapannya yang amat membenci adiknya sehinggap sanggup menampar pipi adiknya.


PENGAJARAN




1.  Kita harus bersabar dengan kerenah adik kita

Contoh:  Apabila malam semakin larut, aku memasuki kamar Angah, sunyi. Hatiku dilanda resah.  Perlahan-lahan aku menghampiri Angah yang sedang lena di katil comelnya.


2.  Kita janganlah mempercayai tilikan.

Contoh:  Syah dan ibu seakan percaya akan tilikan bidan yang membidankan kelahiran Angah.  Aku sungguh hairan melihat ayah dan ibu masuk dalam golongan intelek, masih percaya kepada tilikan yang mengatakan Angah akan membawa tuah kepada keluarga.

3.  Kita janganlah memperbesarkan perkara-perkara yang kecil

Contoh:  Perkara macam itu pun engkau hendak besar-besarkan. Angah bukankah adik engkau.


4.  Kita hendaklah  mempunyai sikap sayang menyayangi antara ahli keluarga.

Contoh: Aku mengangguk sambil memeluk dan mencium pipi Angah. Buat pertama kali ini aku aku memeluk dan mengucupinya.


5.  Kita hendaklah memaafkan kesalahan orang terhadap kita.

     Contoh:  Along dan Angah saling bermaafan antara satu sama lain.



LATIHAN


1.  Nyatakan pengajaran yang terdapat dalam petikan di atas?
        “Angah maafkan Along”.

2.  Apakah nilai yang terdapat dalam petikan di atas?
“Angah boleh simpan rahsia.  Angah tak bohong.  Angah tak susahkan Along.  Along sayang Angah tak?’

Jawapan
1.  Kita hendaklah memaafkan kesalahan orang terhadap kita.
2.  Nilai kasih sayang, kebersihan fizikal dan mental, dan hemah tinggi.