Tuesday, September 13, 2011

Penghujung Thamarat al-Muhimmah


Penghujung Thamarat al-Muhimmah
(Syair Nasihat)



Dengarkan tuan ayahanda berperi,
Kepada anakanda muda bestari,
Nasihat kebajikan ayahanda beri,
Amalkan jangan malas dan ngeri.

Ayuhai anakanda muda remaja,
Jika anakanda menjadi raja,
Hati yang betul hendak disahaja,
Serta rajin pada bekerja.

Kerja kebajikan janganlah malas,
Zahir dan batin janganlah culas,
Jernihkan hati hendaklah ikhlas,
Seperti air di dalam gelas.

Menuntut ilmu janganlah segan,
Ilmu yang benar jangan yang bukan,
Iaitu ilmu yang kebajikan,
Di kitab ini sudah disebutkan.

Hendaklah anakanda mengaji selalu,
Dari yang lain lebihkan dulu,
Had syarak jangan dilalu,
Tidaklah anakanda beroleh malu.

Segala perbuatan dengan berilmu,
Maka kebajikan boleh bertemu,
Jika sebarang-barang diramu,
Akhirnya anakanda jatuh tersemu.

Ilmu itu besar faedahnya,
Membezakan hak dengan batilnya,
Mengetahui rakyat brnar salahnya,
Supaya dihukum dengan adilnya.

Jika ilmu tidak diendah,
Sebab anakanda capak permudah,
Rakyat datang membawa gundah,
Anakanda tercenggang tunduk tengadah.

Abu Hassan Sham




 MAKSUD

Rangkap 1
Nasihat  yang diberi oleh ayah perlu dituruti dan janganlah mengamalkan sikap malas.

Rangkap 2
Seseorang yang dilantik menjadi pemimpin mestilah memiliki hati yang mulia dan komited terhadap tugas yang diamanahkan.

Rangkap 3
Kerja kebajikan yang dilakukan perlulah ikhlas dan jangan mengharapkan kepada pembalasan.

Rangkap 4
Ilmu perlu rajin dituntut. Jangan pula kita menuntut ajaran sesat atau ajaran salah.

Rangkap 5
Ilmu perlu diutamakan terutamanya hukum-hukum syarak demi mengelakkan aib.

Rangkap 6
Tindakan perlu didasarkan kepada pengetahuan supaya membawa kepada kebaikan dan kebajikan untuk mengelakkan kejatuhan.

Rangkap 7
Ilmu yang baik akan menjurus kepada keadilan dan kebenaran. Hal ini akan dapat membezakan antara perkara yang benar dan yang salah.

Rangkap 8
Jika ilmu tidak dituntut atau diambil mudah akan menjerumuskan seseorang atau negara ke lembah kehancuran.

Text Box: Tema 


 TEMA

Nasihat kepada pemimpin agar memimpin negara dengan jujur dan ikhlas.



 PERSOALAN


1.      Persoalan kepentingan ilmu dalam menjalankan tampuk pemerintahan.
2.      Persoalan keperibadian yang tinggi yang perlu dimiliki oleh seorang pemimpin.
3.      Persoalan ajaran betul dan ajaran songsang yang telah diwartakan.
4.      Persoalan hukum syarak yang perlu diikuti untuk mengelakkan aib kepada diri.



 BENTUK

1.    Pantun ini terdiri daripada lapan rangkap.
2.    Setiap rangkap mengandungi empat baris.
3.    Jumlah perkataan empat hingga enam perkataan sebaris, jumlah suku kata pula sembilan hingga sebelas suku kata dalam satu baris
4.    Rima akhir adalah sama iaitu ’aa aa’.





 GAYA BAHASA

Aliterasi
            Dengarkan tuan ayahanda berperi. (Rangkap 1, baris 1)
Pengulangan konsonan ‘n’

Asonansi
            Had syarak  jangan dilalu. (Rangkap 5, baris 3)
            Pengulangan vokal ‘a’

Inversi
            Kerja kebajikan janganlah malas.(Rangkap 3, baris 1)

Bahasa Arab
            Had syarak jangan dilalu (Rangkap 5, baris 3)





 NILAI

1.    Nilai mendengar nasihat
Mendengar nasihat orang yang berpengalaman untuk kesejahteraan masa hadapan.

2.    Nilai kerajinan
Rajin menuntut ilmu dan menjalankan tugas yang diberikan.

3.    Nilai keadillan
      Seorang pemimpin perlulah adil dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

4.    Keikhlasan
      Kerja kebajikan perlu dilakukan dengan hati yang penuh ikhlas.







 PENGAJARAN

1.    Kita hendaklah mendengar nasihat ayah, agar kehidupan kita diberkati.
2.    Kita hendaklah menjalankan siasatan sebelum menjatuhkan hukuman.
3.    Kita hendaklah sentiasa berbuat baik dan kebajikan, serta ikhlas dalam sebarang tindakan.
4.    Kita hendaklah menuntut ilmu agar dapat membezakan antara yang buruk dan yang baik.








 LATIHAN

  1. Berikan maksud rangkap
Kerja kebajikan janganlah malas
Zahir dan batin janganlah culas
Jernihkan hati hendaklah ikhlas
Seperti air di dalam gelas

  1. Pada pendapat anda, apakah kepentingan kita menuntut ilmu?

Jawapan:

  1. Maksud rangkap tersebut ialah kerja kebajikan yang dilakukan perlulah ikhlas dan jangan mengharapkan kepada pembalasan.

  1. Kepentingan menuntut ilmu ialah:

a.    Dapat membantu kita membezakan antara perkara yang baik dengan yang buruk.

b.    Dapat membantu kita menyediakan diri sebagai generasi pemimpin masa depan.

c.    Dapat membantu kita menyelesaikan sesuatu masalah dengan mudah.

3 comments: